Pasaran Modal Pemangkin Fasa Seterusnya Pertumbuhan Semikonduktor Malaysia

KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) — Pasaran modal Malaysia berperanan penting dalam menyokong fasa pertumbuhan semikonduktor yang seterusnya ketika negara memanfaatkan kedudukan bagi merebut peluang susulan penyusunan semula rantaian bekalan sektor berkenaan.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata kerajaan mengalu-alukan usaha pihak berkepentingan pasaran modal yang bekerjasama bagi memenuhi keperluan pembiayaan industri semikonduktor Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama Bursa Malaysia Securities Bhd dan CITIC CLSA  yang dikeluarkan bersempena sesi Siri Sektoral Semikonduktor Bursa Malaysia-CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd (CLSA Malaysia) anjuran kedua-dua pihak itu baru-baru ini yang bertemakan ‘Malaysia’s Next Semiconductor Leap: Elevating the Semiconductor Value Chain.’

Menjelaskan selanjutnya, Liew menyifatkan fasa pertumbuhan seterusnya bagi sektor itu memerlukan tiga bentuk modal yang kritikal iaitu modal yang lebih mendalam, modal pintar dan modal strategik bagi menyokong pelaburan syarikat dalam inovasi, teknologi, bakat serta keupayaan selain mengukuhkan daya saing di peringkat global.

“Menerusi sokongan inisiatif kerajaan yang sedang dilaksanakan, industri semikonduktor kini berkembang pesat melangkaui aktiviti pemasangan dan ujian kepada aktiviti bernilai tinggi seperti pembungkusan cip termaju bagi kecerdasan buatan (AI), pusat data dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini menyatakan mengenai hasrat Malaysia untuk menguasai tujuh peratus daripada pasaran global pembungkusan termaju menjelang 2035,” katanya.

Liew turut mengingatkan, lonjakan semikonduktor seterusnya tidak dapat dicapai oleh kerajaan, industri dan pelabur secara sendirian, malah memerlukan kerjasama semua pihak terbabit.

Menurutnya, ini termasuk pasaran modal yang menyediakan pembiayaan jangka panjang bagi membolehkan syarikat yang berpotensi dapat berkembang sebagai jaguh atau peneraju global.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed menegaskan kepentingan peranan pasaran modal dalam membantu syarikat yang inovatif mendapat pembiayaan jangka panjang, memperluas penyertaan pelabur serta meningkatkan kebolehlihatan pasaran ketika Malaysia melangkah ke fasa pertumbuhan berikutnya.

Beliau menekankan bahawa Bursa Malaysia telah menempatkan sebanyak 52 syarikat teknologi dengan jumlah keseluruhan pasaran modal hampir RM100 bilion setakat Jun 2026. 

“Menerusi inisiatif seperti MY Value Up, Bursa RISE+ dan Invest Malaysia, kami terus memperkukuhkan penyertaan pelabur, mengukuhkan kebolehlihatan pasaran dan menyokong syarikat sepanjang tempoh pertumbuhan mereka.

“Selaras dengan perkembangan industri semikonduktor Malaysia, kami sentiasa komited untuk memperkukuhkan ekosistem pasaran modal bagi menyokong pertumbuhan industri dan hasrat Malaysia untuk membina syarikat teknologi yang berdaya saing di peringkat global,” katanya. 

Dalam pada itu, Siri Sektoral Semikonduktor Bursa Malaysia-CLSA itu meneroka kedudukan Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global, peluang dalam segmen bernilai lebih tinggi dalam rantaian nilai, dan peranan pasaran modal dalam menyokong inovasi, pertumbuhan serta daya saing global. 

Selain itu, CITIC CLSA adalah anak syarikat milik penuh CITIC Securities dan merupakan platform perniagaan luar negaranya.

Ditubuhkan di Hong Kong pada 1986, CITIC CLSA adalah kumpulan pelaburan dan pasaran modal terkemuka di Asia yang bertujuan menyokong strategi pertumbuhan pelabur institusi global, syarikat, kerajaan dan individu bernilai bersih tinggi.