Arul Kumar Dilantik Pengerusi DAP Negeri Sembilan Baharu

SEREMBAN, 10 Ogos — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan J. Arul Kumar dilantik sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata pelantikan Arul Kumar dibuat secara sebulat suara oleh Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan selepas beliau mengosongkan jawatan itu yang disandangnya selama 22 tahun sejak 2004.

“Pemilihan Arul Kumar adalah sesuatu yang saya rasa amat positif dan membuktikan DAP adalah sebuah parti berbilang kaum. Kita melihat seseorang itu dari segi kelayakan dan kebolehan beliau untuk memimpin.

“Saya menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada jawatankuasa negeri yang baharu kerana pasukan kita adalah berpengalaman, telah lama bekerjasama dan bersatu padu, paling penting kita akan meneruskan kerja di setiap kawasan yang diwakili dengan bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Negeri DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.

Loke berkata pelantikan Arul Kumar yang juga Naib Pengerusi DAP negeri sebelum ini adalah selaras dengan perlembagaan parti.