Malaysia Tangani Perselisihan Faham Menerusi Libat Urus Diplomatik – PM Anwar

HANGZHOU, 23 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menangani sebarang perselisihan faham dengan negara-negara jiran menerusi libat urus diplomatik secara berterusan dan dialog yang membina, bukannya dengan menimbulkan konflik atau bersikap curiga.

Dalam ucapan merangkumi pelbagai isu yang menyorot hubungan kebudayaan dan diplomatik yang mendalam antara Malaysia dengan China, Anwar turut berkongsi anektod peribadi mengenai rasa saling menghormati serta perkongsian falsafah yang erat dengan kepimpinan China.

Beliau memuji Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang atas sikap rendah hati dan melayan negara-negara kecil sebagai rakan kongsi setara, satu kualiti yang disifatkan beliau sebagai amat penting bagi negara-negara membangun dalam mendepani realiti pascakolonial dan tekanan geopolitik moden.

“Ramai sentiasa bertanya kepada saya, mengapa anda kelihatan begitu rapat dengan China? Saya bertanya kembali, soalan jenis apa itu? Kami rapat dengan China kerana China ialah jiran kami.

“Saya sukar memahami sikap yang menggalakkan pandangan bahawa ‘China tidak boleh dipercayai’. Sikap sedemikian berpunca daripada prasangka lain tertentu, tetapi ia sememangnya tidak mewakili kami,” kata Anwar pada pelancaran global edisi Bahasa Cina bagi buku terbaharu beliau, “Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times”, di sini pada Rabu.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Buku berkenaan memberi tumpuan kepada bagaimana identiti boleh dibentuk semula dan laluan ke arah hidup bersama diterokai berteraskan latar belakang kemunculan negara-negara merdeka baharu serta perjuangan mereka menentang kolonialisme dan imperialisme.

Ia turut menyarankan peralihan tumpuan ke arah “kemakmuran bersama”, dan bukannya sekadar mengejar kepentingan diri semata-mata.

Diterbitkan oleh World Affairs Press di bawah Kementerian Hal Ehwal Luar China, buku itu diterjemahkan oleh Dr Yan Lijin, dengan kira-kira 5,000 naskhah telah dicetak.

Versi asal bahasa Inggeris “Rethinking Ourselves: Justice, Reform, and Ignorance in Postnormal Times” diterbitkan pada Oktober 2025 oleh Penguin Random House SEA.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kini berada di China untuk rangka lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, yang merangkumi mesyuarat dua hala peringkat tinggi bersama Li serta sesi penglibatan dengan pemimpin China dan tokoh-tokoh industri.