GEORGE TOWN, 10 Ogos — Kementerian Ekonomi memperuntukkan RM12 juta bagi tempoh empat tahun hingga 2030 untuk melaksanakan Projek Rintis Bakat STEM di Pulau Pinang dengan sasaran memberi pendedahan dan latihan berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada 100,000 pelajar.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata projek itu merupakan hasil kerjasama Kementerian Ekonomi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemain industri bagi memperkukuh pembangunan bakat tempatan selaras dengan keperluan industri berteknologi tinggi.
“Peruntukan ini akan menyokong pelaksanaan empat teras utama iaitu pendidikan STEM untuk generasi muda, Math Quest, AI on Wheels serta Technical Skill Learning dengan tumpuan khusus turut diberikan kepada sekolah luar bandar dan komuniti berpendapatan rendah.
“Langkah ini penting untuk meluaskan peluang, membina kemahiran praktikal secara hands-on dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (Al), sains data, robotik, dan teknologi digital, sekali gus membuka laluan kerjaya bernilai tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Projek Rintis Bakat STEM di Pulau Pinang di Tech Dome Penang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Akmal Nasrullah berkata Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi projek rintis berikutan negeri itu mempunyai ekosistem industri yang kukuh khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta pembuatan berteknologi tinggi, selain mengambil kira Blueprint Pengukuhan STEM Pulau Pinang yang diketengahkan kerajaan negeri pada 2024.
Beliau berkata pembangunan bakat perlu dimulakan lebih awal termasuk daripada peringkat sekolah rendah dan menengah sebelum diperkukuh menerusi pendidikan tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta latihan industri.
Menurut beliau, kejayaan projek rintis itu juga bukan sahaja penting untuk memenuhi keperluan industri Pulau Pinang, malah boleh menjadi model pembangunan bakat yang boleh diterapkan di negeri-negeri lain bagi menyokong agenda ekonomi negara.
Beliau memaklumkan Malaysia juga perlu menyediakan hampir 60,000 jurutera berkemahiran tinggi bagi menyokong usaha meningkatkan keupayaan industri semikonduktor negara daripada aktiviti back-end kepada front-end.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru syarikat dan pemain industri yang terlibat supaya tidak menjadikan program pembangunan STEM sekadar aktiviti berbentuk modul, sebaliknya menyediakan pendedahan secara langsung kepada pelajar.
Akmal Nasrullah berkata pihak industri boleh membawa pelajar melawat kemudahan mereka bagi melihat teknologi baharu yang digunakan, selain menggalakkan jurutera dan tenaga pakar turun ke sekolah untuk berkongsi pengalaman.
“Ia supaya tidak hanya menjadi satu program berbentuk modul semata-mata kerana bimbang inspirasi itu mungkin terhad kerana bersifat seragam, sebab itu kita mahu pihak syarikat terus mempunyai galakan lebih besar untuk terlibat sama dalam pembangunan modal insan di Pulau Pinang,” katanya.

















Tinggalkan Balasan