Isu Sempadan Malaysia-Thailand Dalam Radar Kerajaan – Saifuddin

KOTA BHARU, 12 Ogos — Malaysia dan Thailand memperkukuh kerjasama keselamatan sempadan menerusi platform kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan polis dengan polis (P2P), termasuk dalam mengatasi ancaman jenayah rentas sempadan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerjasama G2G dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Sempadan Malaysia-Thailand yang bersidang dua kali setahun.

Beliau berkata kerjasama P2P pula melibatkan negeri yang bersempadan dengan Thailand iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi perhatian.

“Kerjasama polis biasanya melibatkan tiga perkara iaitu perkongsian risikan, pembinaan kapasiti dan operasi bersama jika diperlukan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, Khamis lepas, di Kampung Hutan Pasir, Ketereh di sini.

Saifuddin Nasution berkata isu berkaitan keselamatan sempadan turut dibincangkan dalam pertemuan rasmi dengan rakan sejawatan dari Thailand baru-baru ini, termasuk ketika lawatan Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul ke Malaysia.

“Pengurusan kawasan sempadan ini sangat sensitif kerana melibatkan kedaulatan dua negara, pergerakan rakyat serta elemen jenayah rentas sempadan. Kesemuanya berada dalam radar kita.

“Kita tidak menyelesaikannya melalui kenyataan media yang berbalas-balas, sebaliknya menerusi platform dan forum yang sesuai dengan tertib sebagai negara berjiran,” katanya.

Dalam pada itu, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) akan menambah baik sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) supaya dapat meliputi kawasan titik buta, jika ada.

Beliau berkata ketika ini terdapat 5,000 CCTV di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA namun aspek pengawasan ke atas sistem tersebut juga perlu diberi perhatian.

“Isunya bukan CCTV. Kalau ada kawasan titik buta, itu yang kita akan tambah baik,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata AKPS kini berada pada fasa kedua operasi yang membabitkan beberapa perolehan, termasuk CCTV sebagai sebahagian keperluan peralatan dan infrastruktur.

“Cuma peralatan, infrastruktur. Tapi dari segi orang yang mengawasi atau memantau infrastruktur itu, kita akan meneliti semula dari segi standard latihan dan sebagainya,” katanya.