SHAH ALAM, 12 Ogos — Kerajaan Negeri Selangor bercadang memulihkan dan membangunkan semula bekas Tapak Pelupusan Sampah Telok Kapas di Pasir Panjang, Klang yang terbiar sejak 2007 untuk dijadikan kawasan pemulihan sumber dan aset hijau bernilai tinggi.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Datuk Izham Hashim berkata langkah pemulihan kawasan seluas 80 ekar (32.3 hektar) yang juga sebahagian daripada koridor pembangunan Gerbang Maritim Selangor (SMG) itu berteraskan konsep ekonomi kitaran dan pengurusan sisa lengai terkawal.
“Tanah seluas 32.3 hektar itu sudah sekian lama ditutup dan agak sukar dipulihkan kerana memerlukan kos yang tinggi dianggarkan mencecah RM200 juta untuk memindahkan sisa pepejal dari kawasan itu secara konvensional.
“Melalui kerjasama antara KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), kerajaan negeri mahu meneroka kaedah mampan dari segi kos untuk memulihkan kualiti air serta menangani isu pencemaran cecair sisa yang masih mengalir ke sungai berdekatan tapak pelupusan itu,” katanya.
Izham berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah Urusan KDEBWM Datuk Ramli Mohd Tahir dengan Pengarah Urusan LLSB Syaiful Azmen Nordin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) di sini hari ini.
Beliau berkata usaha pemulihan itu membabitkan bekas tapak pelupusan milik Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) yang ditutup sejak 2007 dengan kapasiti timbunan kira-kira satu juta tan sisa pepejal sedalam 15 meter.
“Selain timbunan sisa pepejal yang padat, perancangan pemulihan tapak turut memberi tumpuan khusus merawat cecair sisa bagi mengembalikan semula persekitaran serta menangani masalah mendapan jangka panjang termasuk kestabilan cerun.
“Melalui pendekatan rawatan biologi, mekanikal dan pemulihan bahan, kerajaan negeri beraspirasi untuk meningkatkan kadar pemulihan sisa pepejal yang boleh dikitar semula antara 70 hingga 80 peratus berdasarkan kajian kebolehlaksanaan,” katanya.
Dalam pada itu, Izham berkata model pemulihan mampan yang dilaksanakan itu akan diperluaskan ke bekas tapak pelupusan lain di seluruh Selangor pada masa hadapan sekiranya projek rintis dalam mengurus sisa pepejal dan cecair sisa di Telok Kapas berjaya.
Izham berkata projek pembangunan bekas tapak pelupusan sampah itu direka bagi memastikan kos pemulihan, rawatan cecair sisa serta penyelenggaraan jangka panjang dapat ditanggung secara mampan dari segi komersial dan kewangan.
“Inisiatif terbaharu ini memperkukuh agenda Selangor dalam meningkatkan kadar kitar semula, kecekapan sumber dan pembangunan rendah karbon. Ia juga menjadi penanda aras terbaik yang menunjukkan tapak pelupusan terbiar boleh dijana semula menjadi aset hijau yang produktif untuk generasi akan datang,” katanya.
Terdahulu, majlis pemeteraian MoU antara KDEBWM dengan LLSB itu turut disaksikan Pengerusi KDEBWM yang juga Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim.

















Tinggalkan Balasan