KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Keputusan pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian pada sesi penerangan Menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji (TH) Selasa lepas dilihat menjejaskan fungsi mereka dalam memainkan peranan semak dan imbang, khususnya bagi memastikan kepentingan 10 juta pendeposit TH terus diberi perhatian.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata tindakan itu juga disifatkan mengecewakan pendeposit yang mengharapkan wakil rakyat menggunakan ruang Parlimen untuk meneliti laporan berkenaan dan mendapatkan penjelasan kerajaan.
“Saya fikir sepatutnya pembangkang kekal di dalam Dewan Rakyat dan mereka mendengar dahulu penerangan daripada menteri. Jika mereka ada kemusykilan, perdebatan atau tidak berpuas hati selepas itu, mereka boleh bertanya secara langsung kepada menteri.
“Ini juga selaras dengan peranan Parlimen sebagai sebuah institusi yang luhur dan tidak boleh menyembunyikan sebarang fakta. Jadi peluang tersebut seharusnya digunakan oleh pihak pembangkang dengan meletakkan kepentingan awam mengatasi perbezaan politik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mazlan berkata pendekatan itu juga boleh digunakan oleh blok pembangkang untuk menguji dapatan RCI secara terbuka serta memberikan peluang kepada mereka mengetengahkan persoalan berkaitan kepentingan pendeposit dalam rekod Parlimen.
Mengulas alasan pembangkang yang mahukan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi tersebut, Mazlan berkata perkara itu tidak seharusnya menghalang proses pembentangan RCI berkaitan TH kerana menteri berkenaan tetap berupaya memberikan penjelasan selaras dengan portfolio yang dipertanggungjawabkan.
“Soal mereka mahu Perdana Menteri sendiri (hadir ke Parlimen), pada saya sama ada Perdana Menteri ataupun menteri berkaitan, sama sahaja kerana isu yang lebih utama adalah berkaitan TH. Semua juga maklum yang Perdana Menteri menerima rawatan di hospital, jadi berilah ruang kepada beliau untuk berehat,” katanya.
Mazlan berkata tindakan memboikot perbahasan juga boleh memberi kesan politik yang berupaya membentuk persepsi bahawa pembangkang kurang bersungguh-sungguh memperjuangkan kepentingan pendeposit, sedangkan isu kelestarian serta pengurusan institusi umat Islam itu memerlukan penelitian berterusan.
Senada, Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Dr Nazreena Mohammed Yasin berpendapat bahawa penglibatan aktif Ahli Parlimen dalam perbahasan merupakan mekanisme lebih berkesan untuk memastikan fungsi semak dan imbang dilaksanakan secara substantif.
“Dalam konteks laporan RCI berkaitan TH, perbahasan di Dewan Rakyat merupakan ruang institusi untuk Ahli Parlimen meneliti dapatan, mengemukakan persoalan serta mendapatkan penjelasan daripada pihak kerajaan.
“Melalui proses ini, prinsip akauntabiliti dapat diperkukuhkan kerana kerajaan bertanggungjawab menjelaskan tindakan dan keputusan yang diambil kepada wakil rakyat serta masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kebertanggungjawaban kerajaan kepada Parlimen tidak bergantung sepenuhnya kepada kehadiran Perdana Menteri kerana menteri berkaitan turut bertanggungjawab menjawab persoalan wakil rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata penglibatan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan penting bagi memastikan sebarang tindakan susulan terhadap dapatan RCI dinilai secara terbuka termasuk dari segi dasar, tadbir urus dan langkah penambahbaikan yang perlu dilaksanakan kerajaan.
Nazreena berkata dalam isu yang mempunyai implikasi langsung terhadap kepentingan awam, wakil rakyat bukan sahaja berperanan menyuarakan kritikan tetapi perlu memastikan persoalan yang dibangkitkan mendapat jawapan dan tindakan susulan sewajarnya melalui mekanisme Parlimen.
Semalam, Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin antara yang keluar Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan RCI berkaitan TH, selain Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Pengerusi PN Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar.
Pada awal persidangan khas semalam, Takiyuddin mengemukakan cadangan supaya mesyuarat khas tersebut ditangguhkan, susulan ketidakhadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing dirawat akibat masalah kesihatan.
Mesyuarat khas itu diadakan bagi mendengar penerangan menteri mengenai Laporan RCI TH, serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi berkenaan susulan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 yang didedahkan dalam laporan RCI berkenaan.
















Tinggalkan Balasan