KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Nilai kerja pembinaan yang disiapkan dalam sektor pembinaan meningkat 8.8 peratus tahun ke tahun kepada RM47.8 bilion pada suku kedua 2026, sekali gus mengekalkan momentum pertumbuhannya yang stabil selepas kenaikan 8.5 peratus pada suku pertama 2026.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan prestasi itu dipacu oleh pengembangan berterusan dalam subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan bukan kediaman, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 17.6 peratus dan 13.3 peratus.
Menurutnya, subsektor bangunan kediaman mencatatkan peningkatan sebanyak 8.7 peratus, diikuti oleh subsektor kejuruteraan awam dengan pertumbuhan 2.7 peratus.
DOSM menambah subsektor kejuruteraan awam menyumbang RM16.7 bilion atau 35 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan pada suku itu. Prestasi berkenaan didorong oleh pembinaan projek utiliti (RM8.1 bilion) serta pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM6.9 bilion).
Sementara itu, nilai kerja pembinaan bagi subsektor bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing berjumlah RM14 bilion (menyumbang 29.3 peratus) dan RM10.9 bilion (menyumbang 22.8 peratus).
Subsektor aktiviti pertukangan khas menyumbang RM6.2 bilion (12.9 peratus), disokong oleh penyediaan tapak (RM1.5 bilion), pemasangan paip, pemanasan dan pendingin hawa (RM1.3 bilion) serta pemasangan elektrik (RM1.3 bilion).
DOSM memaklumkan sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan bagi suku berkenaan, menyumbang RM31.4 bilion atau 65.8 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan.
“Sektor swasta mengekalkan momentum pertumbuhan dua digitnya, merekodkan pertumbuhan 11.4 peratus (suku pertama 2026: 13.2 peratus), didorong oleh prestasi kukuh dalam subsektor aktiviti pertukangan khas (20.2 peratus) dan bangunan bukan kediaman (18.2 peratus).
“Sementara itu, nilai kerja pembinaan oleh sektor awam meningkat 4.1 peratus (suku pertama 2026: 0.5 peratus) kepada RM16.4 bilion, merangkumi 34.2 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai, disokong oleh subsektor aktiviti pertukangan khas (11 peratus),” tambahnya.
DOSM menambah prestasi sektor pembinaan mengikut negeri pada suku kedua 2026 pula, hampir 65.8 peratus daripada jumlah nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) serta Sarawak.
“Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM12.2 bilion atau 25.5 peratus, dengan subsektor bangunan bukan kediaman (RM4.8 bilion) dan bangunan kediaman (RM3.2 bilion) mencatatkan sumbangan tertinggi.
“Sementara itu, Johor merupakan penyumbang kedua dengan RM9.4 bilion atau 19.6 peratus, terutamanya disokong oleh subsektor bangunan bukan kediaman (RM3.5 bilion), manakala nilai kerja pembinaan di Wilayah Persekutuan berjumlah RM5.2 bilion (10.8 peratus) dan Sarawak mencatatkan RM4.7 bilion RM4.7 bilion (9.9 peratus),” tambahnya.
Menurutnya, bagi separuh pertama 2026, nilai kerja pembinaan yang dilaksanakan dalam sektor pembinaan mencecah RM94.3 bilion, merekodkan peningkatan sebanyak 8.7 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2025.
“Pertumbuhan itu adalah lebih sederhana berbanding 14.7 peratus yang direkodkan pada separuh pertama 2025.
“Prestasi berkenaan disokong oleh pertumbuhan positif dalam semua subsektor, terutamanya aktiviti pertukangan khas (21 peratus) dan bangunan bukan kediaman (13 peratus),” tambahnya.
















Tinggalkan Balasan