BNM Akan Nilai Semula Data Makroekonomi Menjelang Mesyuarat MPC – Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Bank Negara Malaysia (BNM) akan menilai semula perkembangan makroekonomi yang terkini menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan datang dalam tempoh dua minggu sebelum memutuskan pendirian dasar monetari yang bersesuaian.

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat akan menilai sama ada pendirian dasar monetari semasa adalah konsisten dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

“Itulah cara kami akan menilainya. Saya tidak dapat memberikan jawapan sekarang memandangkan ini bergantung kepada bagaimana kami menjalankan penilaian termasuk data yang akan diterima bermula hari ini sehingga mesyuarat MPC, sama ada ini mengubah penilaian kami terhadap prospek, inflasi dan pertumbuhan itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2026 di sini hari ini.

Menurutnya keputusan dasar monetari BNM adalah berdasarkan data dengan mempertimbangkan pelbagai petunjuk termasuk permintaan domestik, keadaan luaran, tekanan inflasi serta perkembangan pasaran kewangan.

Abdul Rasheed berkata bank pusat kekal komited untuk memastikan kestabilan harga dan pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Mesyuarat MPC yang akan datang dijadualkan diadakan pada 3 Sept 2026.

Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia pada masa ini berada pada 2.75 peratus berikutan keputusan terakhir MPC BNM pada 9 Julai 2026.

Bank pusat mengekalkan kadar itu sejak menurunkannya daripada tiga peratus pada Julai 2025.