VLADIVOSTOK, 17 Ogos — Seekor harimau Amur atau Siberia di Primorye, melarikan perangkap kamera yang dipasang jurugambar hidupan liar Jerman Sascha Fonseca di sebuah gua, dengan aksi itu turut dirakam dalam video, menurut Pusat Harimau Amur, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Apa yang milik anda kini menjadi milik kami. Di Wilayah Maritim Primorsky, seekor harimau Amur memasuki sebuah gua tempat jurugambar hidupan liar Sascha Fonseca memasang kamera, mengambil peralatan mahal itu dan membawanya ke lokasi yang tidak diketahui,” menurut pusat berkenaan.
Pusat itu turut memuat naik video di saluran Telegram yang menunjukkan harimau berkenaan membawa sebuah kamera besar di dalam mulutnya dengan wayar peralatan itu tercabut ketika keluar dari sebuah gua kecil.
Pusat berkenaan menjelaskan bahawa kejadian itu berlaku di Rizab Alam Semula Jadi Lazovsky.
Harimau Amur merupakan antara pemangsa paling jarang ditemui di dunia dan disenaraikan dalam Senarai Merah Spesies Terancam Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).
Di Rusia, spesies itu hidup di empat wilayah iaitu Primorsky, Khabarovsk, Wilayah Amur dan Wilayah Autonomi Yahudi.
Menurut bancian menyeluruh, kira-kira 750 harimau Amur termasuk anak harimau hidup di Rusia.
Fonseca merupakan pemenang pelbagai pertandingan fotografi antarabangsa termasuk pertandingan “Most Beautiful Country” anjuran Persatuan Geografi Rusia.
Pada 2024, Fonseca berjaya merakam seekor harimau bintang Amur yang baru dikenal pasti, spesies terancam, di bahagian utara Taman Negara Land of the Leopard di Primorye.













Tinggalkan Balasan