PUTRAJAYA, 17 Ogos — Kerajaan melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya menetapkan sasaran untuk mengurangkan kematian akibat nahas jalan raya, terutamanya melibatkan pengguna motosikal, sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2030.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penyelarasan dasar, sumber dan akauntabiliti antara kementerian serta agensi akan diperkukuh, supaya setiap intervensi bukan sahaja dilaksanakan, tetapi menghasilkan pengurangan kematian dan kecederaan serius yang dapat diukur.
Beliau berkata langkah tersebut penting, kerana sebanyak 6,537 nyawa terkorban akibat nahas jalan raya pada tahun lepas, iaitu bersamaan kira-kira 18 nyawa setiap hari.
Ahmad Zahid berkata lebih membimbangkan, penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan kematian, meskipun motosikal hanya mewakili 14 peratus jumlah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.
“Ini bermakna hampir dua daripada setiap tiga kematian di jalan raya melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu hari ini.
Ahmad Zahid berkata angka-angka tersebut menunjukkan bahawa kerajaan tidak lagi boleh bergantung kepada pendekatan biasa, sebaliknya intervensi perlu lebih bersasar kepada kumpulan berisiko tinggi serta menangani faktor lain seperti keselamatan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, penguatkuasaan dan perancangan bandar secara lebih menyeluruh.
Beliau turut menekankan bahawa kerugian sosioekonomi akibat kematian jalan raya pada tahun lepas dianggarkan sekitar RM30 bilion, berdasarkan pendekatan Value of Statistical Life (VOSL).
“Ini membuktikan bahawa pelaburan dalam keselamatan jalan raya bukan sekadar perbelanjaan, tetapi pelaburan untuk menyelamatkan nyawa, melindungi keluarga dan mengurangkan kerugian kepada ekonomi negara,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata jawtankuasa itu turut bersetuju agar Program Rangka Kerja Keselamatan Jalan Raya (SAFERO), dilaksanakan secara berfasa melalui kerjasama Kementerian Pengangkutan, Petroliam Nasional Bhd, Agensi Pengangkutan Awam Darat, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.
Beliau berkata SAFERO akan memanfaatkan kepakaran industri dalam pemanduan defensif, pengurusan keletihan serta pemantauan tingkah laku pemandu, bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme pemandu kenderaan berat.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Ops Cegah yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), akan diperkukuh melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan majikan, dengan menggunakan data untuk mengenal pasti organisasi serta kawasan berisiko tinggi.
“Data PERKESO menunjukkan kadar kematian akibat kemalangan perjalanan pekerja pada tahun 2025, 2.4 kali ganda lebih tinggi berbanding kemalangan industri,” katanya.
Ops Cegah ialah program mesra majikan atau pendekatan lembut PERKESO, bagi meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk mengamalkan budaya pencegahan kemalangan pekerjaan.
Ahmad Zahid berkata isu keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, yang memerlukan pendekatan keseluruhan masyarakat.
“Kerajaan boleh menyediakan dasar, infrastruktur, teknologi dan penguatkuasaan, tetapi budaya keselamatan hanya dapat dibentuk apabila industri, majikan dan setiap pengguna jalan raya memainkan peranan masing-masing.
“Ukuran kejayaan kita bukan berapa banyak kempen atau operasi yang dilaksanakan, tetapi berapa banyak nyawa yang dapat kita selamatkan,” katanya.
















Tinggalkan Balasan