IPOH, 19 Ogos — West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) melaksanakan satu simulasi kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 216.6 arah utara antara persimpangan Sitiawan Utara dan persimpangan Changkat Chermin, pagi tadi.
WCE dalam kenyataan memaklumkan simulasi dijalankan kira-kira 10.25 pagi melibatkan kerjasama pasukan Emergency Response Team (ERT) WCE, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Selain itu, simulasi itu turut melibatkan kerjasama daripada Hospital Seri Manjung, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Alam Sekitar serta rakan logistik Swift Integrated Logistics Sdn Bhd dan Air Liquide Malaysia, bagi menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keberkesanan tindak balas agensi-agensi terlibat dalam menghadapi situasi kecemasan di lebuh raya.
Kenyataan itu memaklumkan sebahagian laluan arah utara ditutup sementara bagi membolehkan simulasi kerja-kerja penyelamatan, pengalihan kenderaan serta kawalan keselamatan dilaksanakan.
“Laluan kontra turut diaktifkan bagi menguji keupayaan pengurusan dan pengaliran trafik semasa insiden kecemasan,” menurut kenyataan itu.
WCE memaklumkan simulasi itu tidak dihebahkan kepada umum terlebih dahulu bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan, koordinasi dan keberkesanan tindak balas semua agensi keselamatan serta penguatkuasaan yang terlibat diuji dalam keadaan lebih realistik.
“Simulasi ini dilaksanakan sebagai latihan mengejut tanpa hebahan awam terlebih dahulu sebagai langkah bagi membolehkan tahap kesiapsiagaan, kecekapan masa respons dan koordinasi sebenar kesemua agensi keselamatan diuji sepenuhnya tanpa sebarang persediaan awal.
“WCE menghargai kerjasama dan kesabaran semua pengguna lebuh raya sepanjang pelaksanaan simulasi ini. Langkah ini penting bagi memastikan prosedur tindak balas kecemasan sentiasa berada pada tahap optimum serta dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan sekiranya berlaku insiden sebenar,” menurut kenyataan itu.

















Tinggalkan Balasan