PUTRAJAYA, 19 Ogos — Kepelbagaian kaum serta budaya menjadi kekuatan Malaysia yang perlu terus dipelihara bagi memastikan negara kekal harmoni, inklusif dan maju, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Beliau berkata semangat perpaduan dalam kepelbagaian perlu terus menjadi nadi kekuatan rakyat termasuk warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk terus bersama-sama bergerak membangunkan negara.
“Rakyat Malaysia perlu melihat perbezaan antara kita sebagai keistimewaan bersama. Kita perlu bergerak dengan visi yang sama (agar) sentiasa dapat membangunkan dan menyejahterakan negara berbilang kaum ini,” katanya semasa berucap melancarkan Semarak Jiwa Merdeka@KPKT di sini hari ini.
Nga berkata kemerdekaan yang dinikmati hari ini tidak dicapai dengan mudah sebaliknya lahir daripada perpaduan, pengorbanan dan usaha gigih seluruh rakyat Malaysia.
Beliau juga menyifatkan Malaysia sebagai sebuah orkestra yang mampu menghasilkan simfoni harmoni apabila setiap kaum dan kelompok masyarakat daripada latar belakang berbeza bergerak dengan visi yang sama.
“Jika sesuatu instrumen dimainkan paling kuat, ia tidak mampu memberikan irama merdu. Ia hanya menjadi bunyi serta suara sumbang, tetapi apabila semua instrumen pada irama senada dan sehati sejiwa, ia menghasilkan simfoni orkestra yang cukup harmoni,” katanya.
Nga berkata semangat perpaduan juga perlu diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat terutama ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-69 dalam dunia yang semakin maju dan moden.
“Kita mempunyai infrastruktur bertaraf dunia, teknologi menghubungkan setiap pelosok negara serta peluang ekonomi dan pendidikan yang jauh lebih luas.
“Namun, semakin maju sesebuah negara, semakin besar tanggungjawab kita untuk memelihara asas menjadi sebuah yang negara inklusif, kuat dan maju, iaitu perpaduan dan keharmonian. Dua perkara ini perlu kita pertahankan sampai bila-bila,” katanya.
Dalam konteks KPKT, Nga berkata warga kementerian itu perlu bergerak sebagai satu pasukan yang saling memperkukuh, membantu dan melengkapi bagi membina Malaysia MADANI yang mampan, inklusif dan kukuh.
Beliau turut mengingatkan warga kementerian itu supaya memastikan prestasi dan usaha mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas oleh persepsi.
“Jangan benarkan prestasi kalah kepada persepsi. Kita perlu pastikan segala jasa baik dan pengorbanan (warga KPKT) dapat dirasai, disentuh dan dilihat rakyat,” katanya.
















Tinggalkan Balasan