BUKIT MERTAJAM, 25 Ogos — Sebanyak 20 peserta termasuk anak angkat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim menyantuni lebih 300 penumpang KTM Komuter menerusi program Edaran Jalur Gemilang, Sabtu lepas.
Program anjuran Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Bukit Mertajam dan Pejabat Penerangan Seberang Perai Tengah (SPT) itu dilaksanakan dalam koc komuter bagi perjalanan dari Stesen Bukit Mertajam, Pulau Pinang ke Stesen Sungai Petani, Kedah.
Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata program tersebut diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026 bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di samping mengukuhkan hubungan komuniti dengan agensi kerajaan.
“Sebanyak 20 peserta terdiri daripada ahli Kelab Wanita Muda, pegawai Pejabat Penerangan SPT serta anak angkat, Lee Teck Qing telah turun padang menyantuni lebih 300 penumpang komuter KTM dengan mengedarkan Jalur Gemilang sebagai simbol semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan 2026.
“Program ini berjaya menceriakan suasana dalam komuter dan menjadi simbol kebersamaan rakyat Malaysia dalam meraikan bulan kemerdekaan. Jalur Gemilang yang berkibar di tangan penumpang melambangkan semangat perpaduan yang terus subur di hati rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Pengerusi Kelab Wanita Muda Bukit Mertajam, Nasuha Mohd Rodzuan berkata pihaknya berharap edaran Jalur Gemilang itu bukan sahaja menceriakan perjalanan penumpang, malah juga menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air.
“Kami berharap edaran Jalur Gemilang ini bukan sahaja menceriakan perjalanan penumpang, malah juga menyemarakkan rasa cinta kepada tanah air. Semoga semangat patriotisme ini terus semarak dalam hati setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Lee, 22, yang juga anak angkat Sim, menyifatkan program tersebut sebagai satu pengalaman yang bermakna dan mampu membawa mesej perpaduan kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada semua yang merancang aktiviti bermakna ini. Walaupun hanya mengedarkan Jalur Gemilang, diharapkan usaha ini membawa semangat Satu Malaysia kepada masyarakat MADANI.
“Terima kasih atas sokongan YB (Sim) yang sentiasa membantu kehidupan kami,” kata pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
















Tinggalkan Balasan