Polis Tahan Lima Lelaki Disyaki Memiliki, Menyimpan Daun Ketum

IPOH, 25 Ogos — Polis menahan lima lelaki warga tempatan dalam dua serbuan berasingan di daerah Kerian dan Hilir Perak, masing-masing malam tadi dan awal pagi ini, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti memiliki dan menyimpan daun ketum serta air ketum.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam serbuan pertama kira-kira pada 10.30 malam semalam, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kerian menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 27 hingga 42 tahun di sebuah rumah di Kampung Nelayan, Tanjung Piandang.

“Pemeriksaan di lokasi menemukan sebuah botol plastik lut sinar mengandungi cecair disyaki air ketum dengan anggaran isipadu 0.6 liter, manakala pemeriksaan lanjut di bahagian dapur rumah berkenaan menemukan 22 bungkus plastik berisi cecair sama dengan anggaran keseluruhan 11.01 liter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kes berasingan kira-kira pada 12.20 tengah malam tadi, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di belakang sebuah rumah di Jalan Chenderong Balai, Teluk Intan sebelum menemukan 22 bungkusan plastik hitam, disyaki daun ketum seberat 196 kilogram bernilai kira-kira RM2,940.

Dalam serbuan tersebut, dua lelaki warga tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan, katanya.

Mohd Alwi berkata semakan awal mendapati kesemua yang ditahan dalam dua serbuan berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kesemuanya kini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, manakala daun ketum dan air ketum yang telah dirampas pihaknya itu dipercayai untuk tujuan pengedaran.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sumber bekalan serta rangkaian pengedaran bahan berkenaan,” katanya.