KUALA LUMPUR, 11 Sept — Selepas menamatkan lawatan kerja ke Sabah hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke New Delhi, India bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 serta dijadual mengadakan beberapa pertemuan dua hala.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata sepanjang di sana, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India selain Presiden Russia, Iran dan Kazakhstan serta Perdana Menteri Ethiopia.
“Saya dan delegasi Malaysia berangkat ke New Delhi, India bagi menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18.
“Rencana saya di India turut merangkumi kunjungan ke Keralam untuk bertemu Mufti Besar India bagi bertukar-tukar pandangan mengenai pembangunan masyarakat, pendidikan dan hal ehwal agama,” kata beliau.
Selepas menyelesaikan misi diplomasi di India, Anwar akan meneruskan perjalanan ke Male, Maldives bagi mengadakan lawatan rasmi atas jemputan Presiden Dr Mohamed Muizzu.
“Moga segala urusan dipermudah dan lawatan ini membawa manfaat nyata buat rakyat dan negara. Insya-Allah,” kata Anwar.
















Tinggalkan Balasan