KOTA KINABALU, 18 Sept — Sabah terus mencatatkan pertumbuhan kukuh bagi ketibaan pelancong dari China dengan jumlahnya meningkat sebanyak 25.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
Hal ini sekali gus memperkukuh kedudukan negara itu sebagai pasaran pelancong antarabangsa terbesar bagi negeri berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata negeri itu mencatatkan 484,699 ketibaan pelancong dari China antara Januari hingga Julai 2026, peningkatan ketara daripada 386,217 ketibaan bagi tempoh yang sama pada 2025.
“Pertumbuhan kukuh ini mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap Sabah dalam kalangan pelancong China serta menyerlahkan kepentingan memperkukuh rangkaian perhubungan kita dengan China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi terus menyokong permintaan yang kian meningkat ini, Xiamen Airlines bakal mengendalikan semula perkhidmatan penerbangan terus Xiamen–Kota Kinabalu pada 23 Sept, 2026.
Bersama-sama laluan Fuzhou–Kota Kinabalu sedia ada, Sabah kini bakal menerima manfaat daripada tujuh penerbangan terus seminggu dari wilayah Fujian, empat dari Xiamen dan tiga dari Fuzhou.
“Rangkaian perhubungan yang dipertingkat ini akan membuatkan Sabah lebih mudah diakses oleh pelancong dari Fujian dan kawasan sekitarnya sekali gus mencipta peluang yang lebih besar untuk industri pelancongan kita,” kata Jafry.
Menteri berkenaan kini menghadiri Jerayawara Perniagaan ke Perniagaan (B2B) Sabah di Fuzhou yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Cawangan Sabah, Xiamen Airlines dan Lembaga Pelancongan Sabah.
Jerayawara berkenaan menghimpunkan ejen pelancongan utama dan penggiat industri dari Xiamen serta Quanzhou untuk meneroka kerjasama perniagaan baharu.
















Tinggalkan Balasan