KOTA KINABALU, 18 Sept — Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda kepada 1,350 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) menjelang 2030 daripada 700 MMscfd ketika ini, susulan pelaksanaan tujuh projek pembangunan luar pesisir, termasuk empat medan gas baharu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peningkatan bekalan itu penting bagi memenuhi pertumbuhan permintaan tenaga serta menyokong pembangunan sektor perindustrian Sabah dalam tempoh empat tahun akan datang.
Menurut beliau, projek yang melibatkan syarikat minyak antarabangsa dan tempatan itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang negeri untuk memastikan bekalan gas mencukupi bagi menyokong perkembangan industri dan sektor tenaga.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan laporan daripada SMJ Energy dan Petronas kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman di sini hari ini.
Hajiji berkata laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 dan Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi penghantaran gas berdasarkan kajian Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah, hasil kerjasama agensi-agensi negeri yang diterajui SMJ Energy bersama Petronas.
Beliau berkata berdasarkan laporan berkenaan, permintaan tambahan gas akan didorong oleh pembangunan loji jana kuasa baharu serta kemudahan gas asli cecair terapung ketiga Petronas (PFLNG3).
“Ia turut merangkumi pelaburan baharu dalam sektor pembuatan di sepanjang koridor pantai barat, bermula dari Taman Perindustrian Kota Kinabalu melalui Terminal Minyak dan Gas Sabah di Kimanis hingga ke Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Sipitang serta terminal gas di Labuan,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengesahkan kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan berpotensi dibangunkan bagi membekalkan gas kepada loji jana kuasa baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan.
“Ia juga membolehkan stesen jana kuasa Sabah Electricity di Batu Sapi ditukar daripada penggunaan diesel kepada turbin berasaskan gas.
“Buat pertama kali, pantai timur akan dapat menjana bekalan elektrik berasaskan gas sendiri tanpa bergantung pada penghantaran bekalan dari pantai barat,” katanya.
Hajiji berkata strategi berkenaan turut membuka ruang kepada pembangunan industri berasaskan gas di Sandakan dan kawasan pantai timur Sabah secara keseluruhannya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Petronas yang menerajui kerja teknikal berkenaan dengan kerjasama SMJ Energy (SMJE), Sabah Energy Corporation (SEC), Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) serta Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan negeri.

















Tinggalkan Balasan