MCMC Kenal Pasti Akaun, Individu Berkait Video Pementasan Tular

PUTRAJAYA, 19 Sept — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti beberapa akaun media sosial serta individu berkaitan video pementasan yang kini tular, dan didakwa mengandungi kandungan yang menyentuh institusi diraja, Malaysia serta Rukun Negara.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dikenal pasti bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Semakan awal mendapati rakaman berkenaan berasal daripada sebuah pementasan pada 2018 yang kini kembali disebarkan dalam media sosial.

“MCMC turut bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melengkapkan siasatan, termasuk berkaitan bukti digital,” menurut kenyataan itu.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan mengenai individu yang dikaitkan dengan video berkenaan bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap proses siasatan.

Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang meminta PDRM dan MCMC menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung video pementasan berkenaan, termasuk meneliti peruntukan undang-undang yang berkaitan sekiranya terdapat pelanggaran.