Kuasa Pengampunan Berlandaskan Peruntukan Perlembagaan – Azalina

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Kuasa pengampunan diperuntukkan secara nyata menerusi Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan tidak wajar digambarkan sebagai tindakan mengatasi undang-undang, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata prinsip kedaulatan undang-undang tidak pernah dipertikaikan dan tiada individu, kerajaan atau institusi berada di atasnya, namun Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.

“Bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong serta menetapkan kerangka Lembaga Pengampunan. 

“Maka, tidak wajar menggambarkan pelaksanaan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan sebagai tindakan mengatasi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan keputusan kehakiman dan proses pengampunan adalah perkara yang berbeza, dengan mahkamah menjalankan fungsi kehakiman dalam menentukan kesalahan dan hukuman, dan Perkara 42 pula menyediakan mekanisme perlembagaan berhubung pengampunan, tunda hukuman atau lega hukuman. 

“Kewujudan kuasa pengampunan dalam Perlembagaan tidak bermakna keputusan mahkamah diketepikan atau seseorang individu berada di atas undang-undang,” katanya.

Azalina berkata setiap institusi mesti bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan, dengan peranan Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan menteri yang berkaitan hendaklah dilihat berdasarkan peruntukan Perkara 42 dan prosedur yang ditetapkan, bukan melalui tafsiran atau persepsi politik. 

Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah menjelaskan di Parlimen bahawa prosedur dan urusan sedia ada berkaitan Lembaga Pengampunan dilaksanakan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa. 

Menyatakan pendiriannya, Azalina menggesa semua pihak agar menghormati keputusan mahkamah, Perlembagaan Persekutuan dan proses yang diperuntukkan.

“Sebarang persoalan mengenai kesahan, kesan undang-undang atau proses sesuatu tindakan hendaklah dinilai berdasarkan teks Perlembagaan, fakta dan proses yang sebenar, bukan sekadar kenyataan politik,” katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara, pagi tadi.