Kerajaan Akan Bantu Perkemas Dan Martabat Institusi Pondok – PM Anwar

PUTRAJAYA, 19 Sept — Kerajaan akan membantu memperkemas dan memartabatkan institusi pondok termasuk dalam aspek kemudahan fizikal, disiplin ilmu serta pengenalan bidang pengajian baharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata sebagai langkah awal, beberapa institusi pondok akan dipilih untuk menjadi perintis kepada tradisi baharu ilmu berdasarkan pengkhususan serta manhaj tarbiah atau disiplin masing-masing.

“Sejak merdeka 1957, kerajaan bertukar ganti, inilah kali pertama kita bantu.

“Saya mahu tekankan, kerana banyak orang pertikai. Saya tidak akan tentukan kurikulum (pondok), bukan bidang saya. Cuma saya usulkan usaha untuk meningkatkan martabat dan kedudukannya, termasuk ilmu dan disiplin baharu,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan bersempena dengan Festival Turath Islami Malaysia 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, bekas Mufti Besar Mesir Syeikh Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab dan ulama terkemuka Maghribi Syeikh Prof Dr Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri.