ASEAN, AS Perkukuh Hubungan Perdagangan Menerusi Pelan Kerjasama 2026–2027

MANILA, 21 Sept — ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan menerusi pelan kerja baharu bagi tempoh 2026–2027 yang memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama termasuk ekonomi digital, pertanian, pemudahcaraan perdagangan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME), lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Pelan Kerja Pengaturan Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) 2026–2027 diperakui pada Rundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN-Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AEM-USTR) di Manila pada Ahad.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Setiausaha Perdagangan Filipina Ma. Cristina Roque dan Timbalan Wakil Perdagangan AS, Duta Rick Switzer.

Dalam kenyataan bersama, menteri-menteri ekonomi ASEAN dan AS berkata pelan kerja baharu itu dibina berasaskan pelaksanaan Pelan Kerja TIFA 2025–2026 yang menghasilkan pencapaian dalam beberapa bidang termasuk ekonomi digital, pemudahcaraan perdagangan, hak harta intelek, amalan kawal selia yang baik dan pertanian.

Kedua-dua pihak turut menegaskan semula komitmen untuk mengekalkan serta memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan ketika berdepan cabaran ekonomi serantau dan global, termasuk memastikan koridor perdagangan kekal terbuka serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.

Berdasarkan statistik awal ASEAN, perdagangan barangan dua hala antara ASEAN dan AS mencecah US$550.5 bilion pada 2025, manakala pelaburan langsung asing (FDI) AS ke rantau ini berjumlah US$30 bilion dalam tempoh sama.

Pelan kerja terbaharu itu mengenal pasti beberapa bidang bagi memperluas kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan MSME, pemudahcaraan perdagangan, hak harta intelek, piawaian, amalan kawal selia yang baik, tenaga kerja, pertanian, persaingan dan perlindungan pengguna serta pengurusan perdagangan strategik.

Para menteri turut menekankan kepentingan ASEAN-AS TIFA yang ditandatangani pada 2006 dan menjadi platform utama bagi hubungan ekonomi antara kedua-dua pihak sejak dua dekad lalu.

“Mesyuarat menekankan kepentingan memastikan TIFA kekal relevan, responsif dan berpandangan ke hadapan, selain terus diselaraskan dengan keutamaan ASEAN dan Amerika Syarikat yang berkembang, sambil memperkukuh peranannya sebagai platform utama dalam memajukan kerjasama ekonomi ASEAN-AS pada tahun-tahun akan datang,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat turut mengiktiraf peranan US-ASEAN Connect Series dalam menggalakkan kerjasama digital, menyokong MSME serta menghubungkan perniagaan, pelabur dan usahawan.

Program Perkongsian ASEAN-AS pula diiktiraf atas peranannya menyediakan bantuan teknikal dan pembangunan kapasiti kepada negara anggota ASEAN.

Para menteri juga menegaskan semula kepentingan bekerjasama dalam usaha menambah baik Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), selain mengalu-alukan sumbangan inisiatif yang melibatkan beberapa negara dalam memajukan perbincangan mengenai isu perdagangan yang semakin berkembang.