KUALA LUMPUR, 23 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang akan bersaing pada kejohanan Piala ASEAN FIFA 2026 pada 25 Sept hingga 5 Okt di Indonesia.
“Insya-Allah, Harimau Malaya akan memulakan kempen menentang Bangladesh pada Jumaat ini, sebelum berdepan dua negara tetangga, Indonesia dan Singapura.
“Ayuh kita berikan sokongan padu kepada pasukan negara. Semoga mereka membawa pulang kejayaan buat Malaysia!” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Mengimbau kembali pengumuman kejohanan berkenaan, Anwar berkata ia dibuat ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur tahun lepas, semasa Malaysia mempengerusikan kumpulan serantau itu.
“Ketika itu, saya menyaksikan pemeteraian kerjasama antara FIFA dan ASEAN yang membuka jalan kepada penganjuran kejohanan ini,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh.
Kumpulan B pula menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan.
Malaysia, yang berada pada kedudukan ke-136 dunia, akan berdepan Bangladesh (181) di Stadium Gelora Bung Karno pada Jumaat ini, diikuti pertemuan dengan tuan rumah (28 Sept) sebelum melengkapkan perlawanan Kumpulan A berdepan Singapura (1 Okt).
Juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 5 Okt.















Tinggalkan Balasan