Perkasa Kekuatan Negeri Dalam Aspek Sejarah, Budaya – Raja Muda Perlis

ARAU, 24 Sept — Perlis berpotensi untuk diketengahkan bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan tetapi sebagai negeri yang menawarkan naratif, identiti dan warisan tersendiri bagi memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kekuatan dalam aspek sejarah, budaya, alam semula jadi dan identiti tempatan menjadi aset yang boleh diperkasakan dalam membangunkan pelancongan berteraskan nilai Islam serta keunikan negeri.

“Penyelidikan dalam bidang pelancongan Islam, warisan, kelestarian dan budaya perlu diterjemahkan kepada dasar, inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Hasil persidangan ini juga perlu diteruskan melalui kajian dan tindakan yang menyokong pembangunan Perlis, Malaysia serta komuniti antarabangsa,” titah baginda. 

Baginda yang juga Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bertitah demikian semasa menyempurnakan perasmian UniSIRAJ International Islamic Tourism, Heritage, Research and Awareness (UniTHRA) 2026 di Dewan Sivik di sini hari ini.

Titah baginda dikongsikan menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Arau. 

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan kepada UniSIRAJ dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), atas usaha menjadikan UniTHRA platform mempertemukan ahli akademik, penyelidik, penggiat pelancongan, kerajaan dan pemegang taruh dalam membentuk pendekatan lebih tepat serta praktikal.

Sementara itu, Istana Arau memaklumkan UniTHRA 2026 yang bertemakan Empowering Islamic Tourism for Sustainable Development melibatkan 200 peserta dari dalam serta luar negara menjadi platform membincangkan peranan warisan dan penyelidikan dalam memperkasakan industri pelancongan Islam secara mampan.

“Perbincangan turut menumpukan kepada potensi ekonomi Islam dalam sektor pelancongan selain meneroka pendekatan memperkukuh pemeliharaan warisan Islam dan pembangunan pelancongan mesra Muslim,” menurut kenyataan itu.

Istana Arau memaklumkan penganjuran UniTHRA mencerminkan komitmen berterusan UniSIRAJ dalam memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas wacana antarabangsa berkaitan pelancongan Islam, warisan dan pembangunan mampan.