10 Warga Thailand Ditahan Disyaki Terlibat Aktiviti Perjudian Dalam Talian

KANGAR, 24 Sept — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis menahan 10 warga Thailand yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menerusi Ops Sapu di sebuah rumah di Taman Choo Kee di sini, tengah malam tadi.

Pengarah Imigresen Perlis Mohammad A’sim Md Ali berkata kesemua yang ditahan dalam operasi pada 12.40 tengah malam itu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 23 hingga 36 tahun.

Beliau berkata operasi itu dijalankan hasil risikan dan pemantauan selama sebulan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Perlis terhadap premis berkenaan susulan kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.

“Setibanya di lokasi, pasukan mendapati pintu rumah berkenaan berkunci dan tiada respons daripada penghuni walaupun beberapa kali mengetuk pintu sebelum pasukan bertindak membuka akses ke premis bagi membolehkan pemeriksaan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohammad A’sim berkata pemeriksaan mendapati kesemua 10 individu berkenaan berada di premis itu dan berdasarkan pemeriksaan awal serta penemuan peralatan di lokasi, mereka disyaki terbabit dalam aktiviti dalam talian berunsurkan perjudian.

Beliau berkata JIM turut menyita 22 telefon bimbit, tujuh komputer riba dan 10 pasport Thailand dalam operasi berkenaan dan semakan sistem mendapati kesemua mereka memiliki PLS yang masih sah, namun disyaki menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan syarat pas berkenaan.

“Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.