Maxis, KUSKOP Bekerjasama Latih 6,000 Usahawan Menerusi Perkasa Halal

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Maxis bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk melatih 6,000 usahawan menjelang 2029 menerusi inisiatif Perkasa Halal dalam usaha memperkukuh pertumbuhan perniagaan dan koperasi dalam ekonomi halal.

Maxis dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu dilancarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026, dan menggabungkan program Halal Sukses KUSKOP serta Maxis eKelas Usahawan (eKU) bagi meningkatkan kemahiran digital usahawan.

Melalui Maxis eKU, peserta dalam kalangan pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bermula dengan membina kemahiran pemasaran digital dan penjanaan pendapatan dalam talian yang praktikal.

“Usahawan yang berpotensi tinggi kemudiannya mara ke Program Pemecutan Maxis eKU selama tiga bulan yang menggabungkan pembelajaran intensif dan bimbingan berkumpulan.

“Mereka akan belajar cara untuk mempercepat pendigitalan dan mengukuhkan kesediaan pemformalan perniagaan bagi menyokong peralihan daripada perusahaan mikro kepada perusahaan kecil,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan sama, Sim berkata Perkasa Halal mengukuhkan komitmen KUSKOP untuk memajukan keusahawanan digital dan membantu usahawan halal Malaysia membina perniagaan yang berdaya saing dan berdaya tahan selain menyokong tumpuan Rancangan Malaysia Ke-13 dalam memperkasakan PMKS.

“Dengan menggabungkan ekosistem KUSKOP bersama dengan kepakaran digital Maxis, kita dapat melengkapkan usahawan dengan kemahiran dan peluang untuk meluaskan capaian pasaran mereka dan membawa produk halal Malaysia ke luar negara,” katanya.

Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis Azizul Abdul Rahman berkata sokongan kepada usahawan akan diteruskan menerusi komuniti alumni Maxis eKU yang menyediakan akses kepada sesi pembangunan, jaringan industri dan sokongan susulan.

Beliau berkata rangkaian itu membantu peserta mengekalkan perkembangan mereka serta membuka peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan di Malaysia dan seterusnya ke pasaran global.

“Melalui eKelas Usahawan, kami telah melihat bagaimana kemahiran digital yang praktikal mampu memberi keyakinan dan kelengkapan kepada usahawan untuk membuka peluang baharu dan berkembang.

“Menerusi Perkasa Halal, kami mahu memastikan sokongan ini berterusan dan bukan terhad kepada satu sesi latihan agar usahawan mendapat bimbingan diperlukan untuk berkembang pada setiap peringkat perjalanan mereka,” katanya.