Pengusaha Pelancongan Rusia Sedia Ambil 30-60 Peratus Tempat Duduk Laluan Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Pengusaha pelancongan Rusia, PAKS Travel, bersedia untuk mengambil antara 30 hingga 60 peratus tempat duduk di laluan terus yang berpotensi di antara Rusia dengan Malaysia, sekali gus menandakan keyakinan pasaran yang kukuh terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata PAKS Travel, yang telah menjual produk pelancongan Malaysia selama 35 tahun, menganggap negara ini sebagai satu daripada destinasi utama dan mempunyai potensi pelancongan yang besar.

“Saya bertemu dengan PAKS Travel di Moscow untuk membincangkan kesalinghubungan udara antara Rusia dengan Malaysia. PAKS memaklumkan bahawa Malaysia secara konsisten menjadi antara destinasi utama bagi mereka.

“Bagaimanapun, kekurangan penerbangan terus kekal menjadi kekangan utama kepada pertumbuhan pasaran seterusnya,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Tiong berkata Presiden dan Pengasas Bersama PAKS, Maxim Lobanov berkata syarikat pelancongan berkenaan sebelum ini pernah berurusan dengan syarikat penerbangan Rusia dan Malaysia serta mencadangkan untuk mengambil sebahagian tempat duduk bagi laluan yang berpotensi.

Beliau berkata sekiranya syarikat penerbangan yang sesuai melancarkan laluan di antara Rusia dengan Malaysia, PAKS dapat mempertimbangkan untuk mengambil 30 hingga 60 peratus kerusi melalui peruntukan tempat duduk berkumpulan untuk dijual sebagai pakej pelancongan.

Pelancong Rusia, katanya, kebanyakannya melancong ke Malaysia melalui beberapa syarikat penerbangan Timur Tengah dan China, dengan kadar tambang kekal sebagai faktor penting dalam menentukan sama ada produk pelancongan dapat dijual secara kompetitif.

“Purata kadang tambang melalui Timur Tengah ialah kira-kira US$650, namun tambang bagi penerbangan terus sebanyak US$1,600 hingga US$1,700 adalah tidak kompetitif,” katanya.

Tiong berkata maklumat yang diberikan oleh PAKS tentang permintaan penumpang, tambang dan keperluan tempat duduk akan dibawa untuk perbincangan dengan syarikat penerbangan termasuk Batik Air tentang kemungkinan menawarkan laluan ke Rusia.

Beliau berkata usaha juga akan dilakukan untuk meneroka keterhubungan Moscow–Tashkent–Malaysia, sambil berurusan dengan syarikat penerbangan dari negara lain untuk menggunakan laluan sedia ada ke Rusia bagi menghubungkan penerbangan ke Kuala Lumpur menerusi hab seperti Hanoi dan Haikou.

“Saya percaya pasaran Rusia mempunyai ruang pertumbuhan yang signifikan sekiranya isu kesalinghubungan udara dan kadar tambang dapat ditambah baik, disokong oleh promosi bersama antara Tourism Malaysia dengan pengusaha pelancongan Rusia,” katanya.