Saintis China Jalankan Ekspedisi Saintifik di Nepal

Sepasukan saintis China berlepas dari bandar Chengdu, China menuju ke Nepal pada Ahad, untuk menjalankan ekspedisi saintifik bersama selama kira-kira 20 hari di negara itu.

Ekspedisi saintifik rentas sempadan itu diketuai bersama oleh Universiti Sains Geologi China (Beijing) dan Akademi Sains dan Teknologi Nepal (NAST).

Saintis kedua-dua negara akan mengadakan kajian di kawasan punca bencana banjir lumpur di Nepal, serta kawasan terjejas di China serta hilir sungai Himalaya.

Pada 26 Ogos lalu, runtuhan glasier secara tiba-tiba berlaku di kawasan sempadan utara Nepal, mencetuskan bencana banjir lumpur rentas sempadan yang mengakibatkan sejumlah besar kematian. 

Bencana yang berpunca dari Nepal itu turut menenggelami Pelabuhan Gyirong di Wilayah Autonomi Xizang China. 

Memandangkan siasatan secara berasingan sukar memberikan gambaran menyeluruh mengenai bencana yang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara, kajian di lokasi kejadian di Nepal penting bagi menelusuri keseluruhan rantaian bencana itu hingga ke puncanya.

Pasukan ekspedisi itu terdiri daripada kira-kira 50 saintis dari China dan Nepal yang akan menjalankan kajian serta mengambil sampel di kawasan bencana.

Hasil kajian itu akan menjadi asas bagi penilaian dan pembinaan semula kejadian bencana berkenaan, selain membantu merangka penyelesaian saintifik bagi pencegahan dan kawalan bencana geologi rentas sempadan.