483 Calon SPM 2026 Di Perlis Perkukuh Persediaan Menerusi i-TRIPs

KANGAR, 6 Okt — Sebanyak 483 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 daripada 26 sekolah di Perlis menerima manfaat Program i-Transformasi Intelek Pelajar Perlis (i-TRIPs) bagi memperkukuh persediaan untuk menghadapi peperiksaan itu.

Pengerusi Eksekutif Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) Profesor Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata sebanyak 243 pelajar daripada tujuh sekolah kawalan terlibat dalam program itu bagi fasa satu dari semalam hingga Sabtu ini.

Sebanyak 240 pelajar daripada 19 sekolah harian pula akan menyertai pelaksanaan fasa dua program itu dari 12 hingga 17 Okt.

“Program ini memberi fokus kepada pengukuhan akademik, latihan berfokus, analisis pencapaian dan peningkatan keyakinan pelajar dalam menghadapi SPM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena perasmian i-TRIPs SPM 2026 yang dirasmikan Pengarah Pendidikan Perlis Ishak Awang di Jabatan Pendidikan Perlis di sini hari ini.

Kamarudin berkata pelaksanaan program itu hasil kerjasama antara FCoEE dan JPN Perlis berserta sokongan sumbangan wakalah daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata sokongan bersepadu itu diharapkan dapat membantu pelajar memanfaatkan baki tempoh persediaan untuk mencapai keputusan terbaik termasuk sasaran memperoleh semua A+.

Beliau juga berterima kasih kepada PTPTN, JPN Perlis, guru dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu.