Sultan Selangor Berkenan Terima Persembahan Keris Jubli Perak

SHAH ALAM, 7 Okt — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima persembahan Keris Jubli Perak yang dihasilkan khas bagi memperingati 25 tahun pemerintahan baginda di negeri berkenaan.

Menurut hantaran Facebook Selangor Royal Office hari ini, keris istiadat tersebut dihasilkan dengan berilhamkan kepada kecintaan serta penghargaan mendalam Sultan Sharafuddin terhadap seni, warisan dan kepelbagaian tradisi keris.

Hantaran itu menyatakan keris berkenaan dibuat dengan penuh ketelitian bagi mencerminkan makna dan keistimewaan sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

“Selepas perbincangan dan panduan daripada pihak yang terlibat, cadangan serta penambahbaikan pembuatan keris itu dipersembahkan bagi pertimbangan serta perkenan baginda.

“Susulan perkenan tersebut, pemilihan tenaga artisan dan tukang mahir dilaksanakan. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan komponen utama keris merangkumi bilah, hulu dan sarung, selain pertukangan perak serta hiasan logam yang melengkapkan keunikan keris itu,” menurut Facebook Selangor Royal Office.

Hantaran itu turut memaklumkan bahawa keseluruhan proses penghasilan keris khas berkenaan mengambil masa 12 bulan dan setiap komponen dibuat dengan cermat serta terperinci sebelum dipersembahkan kepada baginda.

Menurut Facebook Selangor Royal Office, setiap bahan, ukuran dan unsur hiasan keris itu membawa makna tersendiri yang mencerminkan perjalanan pemerintahan serta identiti negeri Selangor.

“Ukuran keris sepanjang 25 inci bagi memperingati 25 tahun pemerintahan baginda manakala penggunaan tujuh jenis besi melambangkan penyatuan kekuatan. Unsur Helang Putih menzahirkan keberanian dan kewibawaan.

“Penggunaan kayu Black Healer pula sebagai simbolik menghubungkan warisan serta kepercayaan tradisional Melayu, sementara tanduk kerbau melambangkan ketahanan dan kehalusan seni pertukangan,” menurut hantaran itu.

Keris berkenaan juga bertatahkan sembilan batu permata yang mewakili sembilan daerah di Selangor serta 25 motif berbentuk siku atau chevronsebagai simbolik untuk mengabadikan perjalanan pemerintahan baginda merentasi masa lalu hingga ke masa depan.

“Antara individu yang terlibat dalam pembuatan keris bersejarah ini ialah Engku Panglima Setia Diraja Datuk Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail, Datuk Dr Abdul Muati Zamri Ahmad, Datuk Wan Burhanuddin Wan Hassan dan Datuk Mohamed Raffe Chekku serta diterajui oleh Yayasan Rafulin. 

“Penghasilan keris berkenaan turut menzahirkan kekayaan seni warisan Melayu serta dedikasi para artisan dalam memelihara dan memartabatkan seni pertukangan keris untuk diwarisi generasi seterusnya,” menurut hantaran itu.

Hantaran Facebook Selangor Royal Office turut menyatakan bahawa Keris Jubli Perak menjadi sebuah karya simbolik yang merakam sejarah pemerintahan Sultan Sharafuddin melalui seni warisan Melayu.