KUALA LUMPUR, 8 Okt — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menekankan empat pendekatan utama dalam menangani isu keganasan rumah tangga, iaitu pencegahan, perlindungan, intervensi dan pemulihan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying berkata pendekatan itu penting bagi memastikan mangsa mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya, termasuk selepas mereka keluar daripada situasi keganasan rumah tangga.
“Untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, program yang kita tekankan ialah pencegahan. Selepas itu, bila sudah berlaku, melindungi. Kita mesti ada intervensi dan lagi satu yang amat penting adalah pemulihan,” katanya dalam Podcast KASIH Lensa Keluarga bertajuk “Dengan Kasih, Keganasan Terhenti!” yang disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV semalam.
Lim berkata aspek pemulihan penting bagi memastikan mangsa yang telah keluar daripada situasi keganasan rumah tangga dapat membina semula kehidupan dan berdikari.
Perlindungan terhadap mangsa juga merangkumi tiga bentuk perintah perlindungan undang-undang, iaitu Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tanpa memerlukan laporan polis, Perintah Perlindungan Interim (IPO) dan Perintah Perlindungan (PO) yang dikeluarkan mahkamah dengan laporan polis diperlukan.
Beliau berkata keganasan rumah tangga bukan cara menyelesaikan konflik dalam keluarga, sebaliknya masalah perlu ditangani menerusi komunikasi, saling menghormati dan perbincangan secara terbuka.
“Jika berlaku keganasan atau ancaman terhadap keselamatan, mangsa mesti mencari bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Lim berkata KPWKM bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam menangani isu berkenaan menerusi jawatankuasa yang memberi tumpuan kepada data, pendidikan dan pembangunan kapasiti serta perlindungan.
Beliau berkata masyarakat, termasuk keluarga dan jiran juga perlu memainkan peranan.
“Jiran, ahli keluarga, mesti ada konsep atau persepsi yang ini bukanlah masuk campur (urusan) keluarga orang lain. Keganasan rumah tangga adalah satu jenayah. Jadi, kita boleh buat laporan,” katanya.
Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam boleh menjadi saluran untuk orang ramai membuat laporan selain mendapatkan nasihat dan khidmat kaunseling psikososial dengan aduan dirujuk kepada JKM untuk tindakan lanjut.














Tinggalkan Balasan