Agong Berkenan Terima Menghadap Pengerusi IPCC Di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menerima menghadap Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) Datuk Zolkopli Dahalan bersama dengan Timbalan Pengerusi IPCC Martina@Kartina Zamhari di Istana Negara, di sini.

Pada sesi menghadap yang berlangsung selama hampir sejam itu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima taklimat daripada Zolkopli tentang peranan, fungsi dan kuasa suruhanjaya tersebut.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima sembah maklum mengenai statistik aduan yang diterima IPCC serta status dan keputusan kes yang telah diselesaikan,” menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.

Menurut hantaran itu, IPCC yang mula beroperasi pada 1 Nov 2023 berperanan memantau, menyiasat dan mengendalikan aduan berkaitan salah laku serta tatakelakuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara bebas, telus dan berintegriti.

Suruhanjaya itu turut berperanan membuat syor bagi penambahbaikan terhadap kesejahteraan dan kebajikan anggota pasukan polis.