KUALA LUMPUR, 8 Okt — Sebanyak 38 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat 3 petang ini susulan cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN serta pergerakan jerebu rentas sempadan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) memaklumkan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) mengesan 210 titik panas di Sumatera dan 94 di Kalimantan, Indonesia, manakala satu dikesan di Pahang.
“Jerebu rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan di bahagian selatan dan tengah Sumatera, Singapura, serta bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan beberapa kawasan di Kalimantan,” menurut JAS dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan rekod JAS, Segamat di Johor mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tertinggi, iaitu 190, diikuti Seremban dan Nilai di Negeri Sembilan, masing-masing dengan bacaan 186 dan 185.
Kawasan lain yang turut merekodkan bacaan tinggi ialah Kluang, Johor (181) serta Rompin, Pahang dan Johan Setia, Selangor yang masing-masing mencatat bacaan 178.
Selain itu, tiada kawasan di seluruh negara merekodkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala 30 kawasan lagi berada pada tahap sederhana.
Mengulas kekeliruan berhubung perbezaan bacaan IPU rasmi pada platform antarabangsa atau penyedia pihak ketiga, JAS menjelaskan bahawa perbezaan itu berpunca daripada penggunaan skala, kaedah pengiraan, nilai ambang, serta sumber data yang berlainan.
Menurut JAS, sesetengah platform bebas menggunakan data satelit atau sensor kos rendah yang hanya mengukur ketumpatan partikel di atmosfera dan bukannya kualiti udara sebenar pada paras bumi, selain berisiko tersilap mentafsir wap air atau awan sebagai asap.
“Orang ramai diminta merujuk Air Pollutant Index Management System (APIMS) atau aplikasi MyJAS EQMS sebagai sumber rasmi kerajaan untuk mendapatkan status IPU harian dan nasihat kesihatan yang tepat,” menurut JAS.
Dalam pada itu, tindakan pengurusan jerebu dilaksanakan secara bersepadu mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) termasuk menghentikan aktiviti luar bilik darjah di sekolah sekiranya bacaan IPU melebihi 100.
Selain itu, pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilaksanakan sekiranya IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka dalam situasi cuaca panas dan kering ini dan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024.













Tinggalkan Balasan