Malaysia Dan Myanmar Sepakat Perkukuh Kerjasama, Tangani Isu Pelarian – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Malaysia dan Myanmar senada kementerian serta agensi berkaitan perlu bergerak aktif dan selaras bagi menjayakan kerjasama antara kedua-dua negara, termasuk usaha merungkai isu pelarian Myanmar di Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu ditekankan beliau bersama-sama Presiden Myanmar Min Aung Hlaing dalam pertemuan serta rundingan dua hala yang diadakan hari ini.

Anwar berkata selepas sidang media bersama-sama, beliau dan Min Aung Hlaing kemudian menyertai Dialog Kerjasama Malaysia-Myanmar di Kompleks Seri Perdana anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Beliau berkata dialog berkenaan melengkapi usaha memperkukuh persefahaman antara Malaysia dan Myanmar menerusi penglibatan ahli akademik, ilmuwan, badan pemikir dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.

“Saya tegaskan bahawa segala yang dibincangkan dalam pertemuan empat mata dan rundingan dua hala mesti disusuli tindakan nyata,” kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata kerajaan memberikan sokongan kepada inisiatif dialog berkenaan serta menggalakkan penyertaan lebih luas institusi ilmu dan komuniti perniagaan agar hasil perbincangan dapat diterjemahkan kepada kerjasama yang membawa manfaat langsung kepada rakyat.

“Saya percaya dialog yang terbuka dan tindakan susulan yang bersungguh-sungguh akan memperkukuh kepercayaan antara Malaysia dan Myanmar, sekali gus membuka jalan untuk menyelesaikan isu berbangkit serta memperluas kerjasama yang membawa manfaat nyata kepada rakyat Malaysia,” kata Anwar.

Min Aung Hlaing berlepas pulang hari ini selepas mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula semalam.