PPM Tahan Dua Warga Asing, Rampas Rokok, Arak Bernilai RM727,351

BUKIT MERTAJAM, 12 Okt — Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan dua lelaki warga asing dan merampas rokok serta minuman keras tidak bercukai bernilai RM727,351 dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Kubang Semang, di sini, Jumaat lepas.

Komander PPM Wilayah Satu ACP Jaffri Bidin berkata serbuan dilakukan Unit Risikan Marin (URM) Pulau Pinang selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan minuman keras dan rokok tidak bercukai di kawasan berkenaan.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 7,860.64 liter minuman keras dan 180,000 batang rokok putih pelbagai jenis dirampas.

“Kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 28 dan 36 tahun itu direman selama 10 hari bermula pada 10 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jaffri berkata serbuan itu dilaksanakan menerusi Operasi Khas Komander PPM Wilayah Satu Bilangan 6/2026 yang berlangsung dari 6 Okt hingga 11 Okt, melibatkan dua pegawai kanan polis dan tujuh pegawai rendah polis daripada URM PPM Wilayah Satu Pulau Pinang.

Sementara itu, beliau berkata PPM Wilayah Satu merekodkan 2,042 kes tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang tahun ini dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM174.64 juta.

Beliau berkata PPM akan terus memperkukuh risikan menerusi kerjasama dengan pelbagai agensi di dalam dan luar Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai dan barangan salah, khususnya melalui jalan laut.