KUANTAN, 12 Okt — Ahli Parlimen Rantau Panjang Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff cedera di dada dan perut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama, Kechau Tui, Kuala Lipis, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, beliau bersama anak perempuannya berusia 26 tahun menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) sedang dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sehingga kenderaan itu berpusing sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Siti Zailah telah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ismail berkata kes disiasat mengikut Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Beliau turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan, selain menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat.

















Tinggalkan Balasan