Ahmad Zahid Tiba Di Beijing Untuk Lawatan Kerja Lima Hari Ke China

BEIJING, 12 Okt — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selamat tiba di sini hari ini bagi memulakan lawatan kerja lima hari ke China, dengan tumpuan memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan, pelaburan, teknologi serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing pada 6.20 petang waktu tempatan dan disambut Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Asia dan Afrika, Kementerian Pendidikan China Li Qi serta Timbalan Ketua Pengarah Kerjasama Antarabangsa Kementerian Pendidikan China Liu Yong.

Ahmad Zahid kemudian disambut Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar  Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan pegawai kanan kerajaan di hotel penginapannya sebelum mengadakan mesyuarat tertutup dengan delegasi Malaysia.

Sepanjang lawatan hingga 16 Okt itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri China Ding Xuexiang di Great Hall of the People di sini pada 15 Okt bagi membincangkan usaha memperkukuh kerjasama sedia ada serta meneroka peluang baharu dalam pelaburan, teknologi, pembangunan modal insan dan TVET.

Norman berkata pertemuan itu merupakan antara tumpuan program Ahmad Zahid di Beijing, selain perjumpaan dengan kepimpinan kerajaan China serta siri perbincangan bersama-sama syarikat perdagangan bagi meneroka peluang kerjasama ekonomi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kemudian dijadual ke Tianjin untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pembukaan Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia (WVTEDC) 2026 pada 16 Okt.

Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara itu dijangka menjadi wakil kerajaan asing pada peringkat tertinggi yang menghadiri persidangan berkenaan,  yang menghimpunkan 21 menteri dan timbalan menteri dari negara lain serta penyertaan dari lebih 100 negara.

Penyertaan Malaysia pada persidangan itu dijangka membuka ruang untu berkongsi amalan terbaik, memperkukuh  kerjasama antara institusi pendidikan dan latihan serta meningkatkan hubungan antara industri kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan ketiga Ahmad Zahid ke China sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.

Jumlah perdagangan Malaysia-China bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 meningkat 35.1 peratus kepada RM456.68 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.