Felo Utama IKMAS UKM Prof Kuik Tersenarai “Top 2% Scientists 2026′

KUALA LUMPUR, 12 Okt — Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Kuik Cheng-Chwee disenaraikan dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia (Top 2% Scientists 2026) oleh Universiti Stanford, Amerika Syarikat baru-baru ini.

UKM dalam kenyataan di laman sesawangnya memaklumkan pengiktirafan itu mencerminkan kecemerlangan dan sumbangan berterusan penyelidik IKMAS dalam memperkukuh keterlihatan penyelidikan universiti itu di peringkat antarabangsa.

“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga IKMAS untuk terus memperkasakan budaya penyelidikan dan kecemerlangan akademik. Syabas dan tahniah!” menurut kenyataan berkenaan.

Senarai Top 2% Scientists 2026 yang disusun oleh Universiti Stanford bersama penerbit akademik Elsevier dan diterbitkan secara rasmi pada 7 Okt merangkumi lebih daripada 200,000 saintis di seluruh dunia.

Penilaian piawaian antarabangsa itu dibuat berdasarkan impak sepanjang kerjaya akademik penyelidik dan impak petikan penyelidikan bagi tahun tunggal terkini.

 Menurut UKM, Kuik, yang juga Profesor Perhubungan Antarabangsa di institut itu, aktif memperluas penglibatan akademik dan dasar antarabangsa menerusi program Cendekiawan Pelawat Indo-Pasifik bersama Yayasan Asia Pasifik Kanada (APF Canada) di Kanada pada 21 hingga 26 Sept lepas.

Sepanjang program itu, beliau mengadakan siri ceramah, perbincangan meja bulat dan pertukaran akademik di Toronto, Ottawa, Montreal dan Vancouver dengan tumpuan kepada pilihan penjajaran Asia Tenggara, diplomasi kuasa pertengahan serta perkembangan dinamik strategik Indo-Pasifik.

Antara penglibatan beliau termasuk kupasan buku di Munk School of Global Affairs and Public Policy, University of Toronto pada 21 Sept, yang membincangkan penyelidikan beliau berkaitan strategi lindung nilai strategik serta kaitannya terhadap hubungan serantau dan global.

Sementara itu, di Ottawa, Kuik menyertai perbincangan meja bulat dalam Hal Ehwal Global Kanada dan bersama Jabatan Pertahanan Negara pada 22 dan 23 Sept, dengan tumpuan merangkumi keselamatan ekonomi, ASEAN serta hubungan Asia Tenggara dengan kuasa besar dan kuasa pertengahan.

Beliau turut menyampaikan ceramah di Jabatan Sains Politik Universite de Montreal bertajuk Hedging in Southeast Asia: Navigating US-China Rivalry and Lessons for Canada pada 24 Sept, selain menyampaikan syarahan di Universiti McGill menerusi Siri Syarahan Asia Tenggara bertajuk “Momen Kuasa Tengah dalam Era Trump-Xi: Perspektif Asia Tenggara”.

Penglibatan itu berasaskan buku terbaharu beliau, Theorizing Hedging: Explaining Shifts and Variations in Alignment Choices yang mengemukakan kerangka teori dua peringkat bagi menjelaskan faktor yang mempengaruhi keputusan sesebuah negara untuk mengamalkan strategi lindung nilai berbanding mengimbangi atau menyebelahi kuasa tertentu.

Selepas penglibatan di Montreal, Kuik turut menyertai perbincangan tertutup dengan Kementerian Perhubungan Antarabangsa Kerajaan Quebec dan La Francophonie, sebelum meneruskan program di Vancouver yang merangkumi perbincangan meja bulat di ibu pejabat APF Canada serta syarahan awam di Sekolah Dasar Awam dan Hal Ehwal Global Universiti British Columbia (UBC).

“Penyertaan beliau dalam program ini mencerminkan sumbangan berterusan IKMAS dan UKM kepada biasiswa antarabangsa dan penglibatan dasar, di samping mengukuhkan rangkaian ilmiah dan mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam tentang landskap strategik rantau ini yang sedang berkembang,” menurut UKM.

Sementara itu, Kuik ketika dihubungi Bernama menyuarakan rasa bangga dan rendah diri atas pengiktirafan berkenaan, terutama ketika beliau meraikan tahun ke-30 sebagai sebahagian daripada warga UKM.

Beliau berkata peluang berterusan untuk menyampaikan pandangan Malaysia dan suara Asia Tenggara melalui penyelidikan, penulisan serta penglibatan dengan rakan akademik dan penyelidik membolehkan beliau menyumbang kepada perdebatan global dengan mencerminkan perspektif yang mendalam serta pelbagai, termasuk yang saling bertentangan di rantau Asia.

“Saya berterima kasih kepada bekas bos saya, Profesor Datuk Zakaria Ahmad kerana membawa saya ke dunia akademik pada 1996, serta semua guru dan mentor saya di Malaysia dan di tempat lain kerana mengubah seorang budak kampung yang pemalu dan agak perlahan tindak-tanduknya menjadi seorang penyelidik yang penuh rasa ingin tahu dan dahagakan ilmu dalam bidang Hubungan Antarabangsa.

“Ucapan terima kasih yang khusus juga ditujukan kepada para pelajar saya selama ini, yang soalan dan perbincangan mereka telah mendorong saya untuk berusaha lebih gigih bagi menjadikan realiti yang kompleks lebih mudah difahami, baik di dalam mahupun di luar bilik kuliah,” katanya.