BEIJING, 13 Okt — Perubahan luruan angin ke arah Lautan Hindi yang dijangka berlaku dalam tempoh dua minggu akan datang diharap dapat membantu mengurangkan kesan jerebu rentas sempadan di Semenanjung dan Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jangkaan perubahan luruan angin itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Selain usaha kemanusiaan yang berterusan, perubahan arah angin tersebut dapat memastikan rakyat Malaysia terhindar daripada terus menjadi mangsa jerebu yang berpanjangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kini berada di China untuk lawatan kerja lima hari meliputi Beijing dan Tianjin, bermula semalam.
Mengenai tawaran Malaysia untuk membantu operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu, beliau berkata Indonesia mungkin tidak memerlukan bantuan itu memandangkan negara berkenaan telah mengerahkan sejumlah besar anggota dan aset bagi menangani bencana tersebut.
“Malaysia telah menawarkan sedikit bantuan, tetapi pihak Indonesia sendiri telah mengerahkan melebihi 19,000 anggota.
“Saya tidak fikir mereka akan memerlukan bantuan dari Malaysia kerana mereka sendiri mempunyai anggota yang ramai dan peralatan yang boleh membantu menyelesaikan kebakaran itu, tetapi kita faham titik-titik panas di Kalimantan dan Sumatera tidak mungkin dapat dipadamkan dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan telah menghubungi Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan menyampaikan kesediaan Malaysia untuk membantu menangani kebakaran hutan dan tanah.
Ahmad Zahid berkata Malaysia sebelum ini menawarkan bantuan operasi pemadaman kebakaran melibatkan sebuah pesawat pemadam kebakaran, tiga helikopter serta 52 pegawai dan anggota.














Tinggalkan Balasan