Kanak-kanak Antara Mangsa Insiden Tembakan Di Sekolah Rendah Oregon

WASHINGTON, 16 Okt — Kanak-kanak antara mangsa dalam insiden tembakan di Sekolah Rendah Silver Rail di Bend, Oregon, Amerika Syarikat (AS), manakala individu yang disyaki sebagai penembak ditembak mati di dalam kawasan sekolah itu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik seorang pegawai.

Pengurus Komunikasi Jabatan Polis Bend, Sheila Miller mengesahkan bahawa kanak-kanak antara mangsa kejadian itu, namun tidak memberikan jumlah mereka yang cedera atau terkorban.

Terdahulu, Jabatan Polis Bend memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan mengenai seorang penembak aktif di sekolah berkenaan.

CBS News yang memetik beberapa sumber penguatkuasaan undang-undang melaporkan sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak dan seorang dewasa terkorban dalam insiden tembakan itu.

Pihak berkuasa masih belum mengenal pasti individu yang menembak suspek berkenaan, dengan Miller berkata tembakan itu mungkin dilepaskan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Keadaan sebenar insiden berkenaan, termasuk identiti suspek, jenis senjata yang digunakan serta tahap kecederaan mangsa masih belum dapat dipastikan.

Miller berkata kira-kira 400 hingga 450 murid bersekolah di situ, yang mempunyai lebih 40 kakitangan.

Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Kash Patel berkata anggota FBI di Portland berada di lokasi kejadian bagi membantu pihak berkuasa tempatan menjalankan siasatan.

Gabenor Oregon Tina Kotek dan Senator Jeff Merkley turut memaklumkan bahawa mereka sedang memantau perkembangan kejadian itu.

Sementara itu, Nazir Sekolah Bend-La Pine, Steven Cook menyifatkan kejadian berkenaan sebagai tragedi yang mengejutkan dan menyedihkan.

Cook menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa dan semua pihak yang terjejas akibat keganasan itu.

“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang dialami komuniti kami. Keutamaan segera kami adalah menjaga kebajikan murid dan kakitangan serta membantu pihak penguat kuasa undang-undang dan pasukan tindak balas kecemasan,” katanya.