Weststar, UPNM Dan UTP Terokai Kerjasama Teknologi Pertahanan, Keselamatan Tenaga

KUALA LUMPUR, 16 Okt — The Weststar Group, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), akan meneroka kerjasama pembangunan teknologi termaju tempatan, termasuk inovasi dwiguna untuk sektor pertahanan dan awam, bagi memperkukuh keupayaan pertahanan serta daya tahan negara.

UPNM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kerjasama yang dicadangkan itu turut merangkumi penyelidikan bersama, pembangunan kepimpinan pelbagai disiplin dan program ijazah bersama.

Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad berkata gabungan kepakaran strategik pertahanan UPNM, kejuruteraan UTP dan kekuatan industri The Weststar Group, berpotensi memperkukuh pembangunan teknologi tempatan serta menyokong pendekatan menyeluruh kerajaan.

“Gabungan kepakaran kedua-dua universiti dengan kehadiran industri membuka peluang untuk membangunkan penyelesaian teknologi berimpak tinggi, yang bukan sahaja menyokong keperluan pertahanan, malah menyumbang kepada keselamatan dan kemandirian negara,” katanya dalam kenyataan itu.

Peluang kerjasama berkenaan diteroka menerusi lawatan delegasi ke UTP di Seri Iskandar, Perak semalam, diketuai Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM merangkap Pengarah Urusan Kumpulan The Weststar Group Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim.

Delegasi yang turut disertai Arman Rumaizi itu disambut oleh Presiden UTP  Mohamed Firouz Asnan.

Menurut kenyataan itu, bidang keselamatan tenaga yang berpotensi diteroka merangkumi perlindungan infrastruktur tenaga kritikal, keselamatan siber sistem tenaga, daya tahan bekalan tenaga bagi operasi pertahanan serta keselamatan tenaga maritim.

Penerokaan dalam bidang itu juga merangkumi pengurusan krisis serta pembangunan dasar strategik bagi memperkukuh kesiapsiagaan, kesinambungan operasi dan kedaulatan tenaga negara dalam menghadapi ancaman keselamatan serta ketidaktentuan geopolitik global.

Sepanjang lawatan, delegasi UPNM turut didedahkan kepada penyelidikan UTP dalam teknologi nuklear, sistem penyimpanan dan penuaian tenaga, bahan termaju, e-mobiliti, pemanduan autonomi, teknologi bioboleh baharu, perakaunan karbon dan aplikasi rantaian blockchain halal.

Susulan lawatan itu, penyelidik kedua-dua universiti dan The Weststar Group akan mengenal pasti bidang berpotensi untuk penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan bersama, manakala perincian kerjasama program berkembar serta fokus teknologi akan diperhalusi pengurusan tertinggi kedua-dua universiti.