KUALA LUMPUR, 19 Okt — Malaysia dan Jepun berpotensi memperluas kerjasama industri pertahanan menerusi pemindahan teknologi, pembangunan komponen tempatan dan penyertaan dalam rantaian bekalan global, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau berkata perkara itu dibincangkan dalam pertemuan dengan Acquisition, Technology and Logistics Agency (ATLA) Jepun yang diketuai Pesuruhjayanya Manabu Imakyurei.
“Saya menerima taklimat mengenai pendekatan Jepun dalam membangunkan industri pertahanannya, di samping bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam pemindahan teknologi, pembangunan komponen tempatan dan rantaian bekalan global.
“Saya percaya hubungan yang lebih erat, berasaskan kepercayaan dan saling menghormati akan membuka lebih banyak peluang kerjasama pertahanan yang memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran dalam platform X.
Mohamed Khaled berkata ATLA merupakan agensi di bawah Kementerian Pertahanan Jepun yang bertanggungjawab dalam aspek perolehan, teknologi dan logistik pertahanan.
Beliau memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari ke Jepun semalam, yang bertujuan memperluas kerjasama pertahanan serta memperkukuh persefahaman dalam menghadapi cabaran keselamatan serantau.
Lawatan berlandaskan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun itu dijangka turut mempererat hubungan antara kedua-dua negara.















Tinggalkan Balasan