KUALA LUMPUR, 20 Okt — Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan beliau akan hadir ke Mahkamah Majistret Sepang esok, bagi menghadapi pertuduhan mengasari dua anggota polis.
Mohd Shuhaily berkata beliau bersedia menghadapi proses sistem perundangan negara dan menerima apa-apa jua keputusan mahkamah berhubung kes berkenaan.
“Sepertimana saya pernah katakan sebelum ini, perubahan untuk memperbaiki sempadan Malaysia mempunyai harga dan harga itu ialah diri saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya dalam melaksanakan tugas diamanahkan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kesakitan, penyakit atau kelemahan tubuh kepada orang lain.
Mohd Khalid berkata setakat ini sebanyak 25 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang berlaku pada 28 Sept lepas.
Mohd Shuhaily sebelum ini menyerahkan kepada kerajaan berhubung tindakan yang mungkin dikenakan, susulan video tular yang memaparkan beliau memarahi dua individu di KLIA Terminal 1.















Tinggalkan Balasan