Pengeluar Kereta Nasional Dijangka Kekalkan Momentum Jualan Pada 2026 – HLIB Research

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Pengeluar kereta nasional dijangka mengekalkan momentum jualan mereka pada sepanjang tahun ini, disokong oleh kedudukan Perodua yang kukuh dalam segmen kenderaan mampu milik dan pertumbuhan jualan yang baik daripada Proton, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

Dalam nota penyelidikan hari ini, HLIB memaklumkan pihaknya mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 800,000 unit bagi 2026, didorong oleh prestasi pengeluar peralatan asli (OEM) nasional yang kukuh.

“TIV meningkat sebanyak 18.4 peratus tahun ke tahun kepada 69,600 unit pada September 2026, didorong oleh kesan asas rendah berikutan tempoh penutupan operasi untuk penyelenggaraan yang lebih panjang.

“Pada asas bulan ke bulan, TIV mencatatkan penurunan 4.2 peratus berikutan pengguna mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang pengumuman Belanjawan 2027 dan penutupan operasi sementara untuk penyelenggaraan oleh Perodua pada bulan tersebut,” menurutnya.

HLIB memaklumkan TIV meningkat sebanyak 4.1 peratus tahun ke tahun kepada 604,700 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, didorong oleh pertumbuhan jualan yang kukuh daripada Proton (39.2 peratus), Jetour (592.7 peratus) dan Mazda (40.8 peratus).

Sementara itu, jualan kenderaan elektrik (EV) mencecah 53,500 unit, mewakili 8.9 peratus bahagian pasaran, sebahagian besarnya didorong oleh Proton dan BYD.

Perodua dan Proton menguasai gabungan bahagian pasaran sebanyak 66.3 peratus dalam tempoh tersebut, meningkat daripada 62.1 peratus pada 2025.

Perodua mencatatkan jualan sebanyak 247,400 unit dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, menurun sebanyak tiga peratus berbanding tahun sebelumnya tetapi berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan penguasaan sebanyak 40.9 peratus.

Sementara itu, Proton mencatatkan jualan sebanyak 153,300 unit, meningkat 39.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, didorong oleh barisan model baharunya dan harga yang kompetitif.

HLIB memaklumkan pengeluar kereta bukan nasional dijangka terus berdepan tekanan berikutan persaingan yang sengit dari segi harga, reka bentuk model dan ciri-ciri kenderaan.

Firma itu mengekalkan penarafan ‘wajaran tinggi’ terhadap sektor automotif, dengan MBM Resources Bhd dan Sime Darby Bhd sebagai pilihan utama, memandangkan kedua-dua syarikat itu berpotensi mendapat manfaat daripada prestasi jualan Perodua yang berdaya tahan.