Kerajaan Arah Penjawat Awam Henti Guna Aplikasi Navigasi Waze Milik Israel

PUTRAJAYA, 21 Okt — Kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

“Maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini. 

Pada masa sama, Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia agar turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu, dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan.

“Pendirian Kerajaan MADANI adalah tegas dan kita akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat,” katanya.

Semalam, Anwar berkata kerajaan menggalakkan orang ramai menggunakan aplikasi TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Beliau berkata langkah itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang kerajaan Israel.

Perkara itu antara yang dibincangkan sewaktu Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara semalam.