KUALA LUMPUR, 21 Okt — Malaysia sedang memantau rapi perkembangan di beberapa negara Eropah, khususnya di Paris, Perancis susulan demonstrasi yang berlaku ketika ini.
Timbalan Menteri Luar Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia memantau situasi termasuk di Paris yang menyaksikan demonstrasi berkaitan isu belanjawan pendidikan negara berkenaan.
Beliau berkata Kedutaan Besar Malaysia di Paris sedang mengumpul serta meneliti maklumat berhubung keadaan semasa, termasuk perkara berkaitan rakyat Malaysia yang berada di negara itu.
“Kita di peringkat Malawakil memang sedang meneliti segala laporan.
Selain itu, kita juga menasihatkan agar warga Malaysia yang berada di Paris atau yang sedang bercuti dan melawat Paris ketika ini untuk melaporkan keberadaan mereka kepada Malawakil Paris,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Symposium on the Malaysian Technical Cooperation Programme (MTCP): Prosperity Through Partnership di sini pada Rabu.
Lukanisman berkata pihak konsulat turut menerima pertanyaan dan kebimbangan daripada rakyat Malaysia mengenai keberadaan ahli keluarga serta pekerja mereka yang sedang berada di Paris.
Pada Ahad, Kementerian Luar menasihatkan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting ke Perancis sehingga keadaan bertambah baik susulan demonstrasi yang sedang berlangsung di bandar-bandar utama negara itu.
Media turut melaporkan protes membantah peningkatan kos sara hidup telah merebak ke beberapa negara Eropah lain, termasuk Belgium, Portugal, Itali dan Albania.










Tinggalkan Balasan