Anak Maradona Tuntut Keadilan Menjelang Keputusan Perbicaraan Kes Kematian Bapanya

BUENOS AIRES, 23 Okt — Anak perempuan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona merayu agar keadilan ditegakkan bagi kematian bapanya pada Khamis, ketika prosiding perbicaraan kes berkenaan menghampiri penghujung dan keputusan dijangka diumumkan pada Disember, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Satu-satunya perkara yang saya minta daripada anda semua ialah supaya keadilan ditegakkan untuk bapa saya,” kata Dalma Maradona, 39, kepada barisan hakim di sebuah mahkamah di San Isidro, utara Buenos Aires.

Dalma bersama adiknya, Gianinna, mengambil bahagian dalam prosiding itu sebagai plaintif bersama.

“Saya terpaksa mendengar ramai orang menceritakan betapa sukarnya kehidupan mereka sejak perbicaraan ini bermula.

“Apa yang ingin saya katakan kepada mereka ialah mereka masih berpeluang bersama keluarga masing-masing. Malangnya, peluang itu tidak lagi dimiliki oleh bapa saya,” katanya dalam keadaan sebak.

Maradona meninggal dunia akibat serangan jantung pada 25 Nov 2020 ketika berusia 60 tahun di sebuah kompleks kediaman persendirian.

Legenda bola sepak yang membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 1986 itu menjalani pembedahan otak beberapa minggu sebelum kematiannya.

Beberapa doktor dan jururawat yang merawat Maradona kini dibicarakan atas dakwaan kecuaian serius dan kesilapan dalam pengendalian rawatan yang dikaitkan dengan kematiannya.

Pihak pendakwaan dan peguam keluarga Maradona menuntut hukuman penjara yang panjang terhadap beberapa tertuduh, manakala peguam bela memohon supaya anak guam mereka dibebaskan daripada pertuduhan.

Hakim Alberto Gaig berkata keputusan perbicaraan akan diumumkan pada 22 Dis selepas penelitian menyeluruh terhadap kes berkenaan.