Teluk Intan Perkenal Pasport Makanan Pertama, Rancakkan Pelancongan Dan Ekonomi Tempatan

IPOH, 26 Okt — Teluk Intan memanfaatkan kekayaan warisan makanannya sebagai tarikan pelancongan menerusi pelancaran Pasport Makanan Teluk Intan, satu inisiatif yang menggalakkan pengunjung meneroka keunikan sajian di bandar Hilir Perak itu sambil menyokong perniagaan tempatan dan merancakkan ekonomi pelancongan setempat.

Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming berkata pasport 20 halaman itu membolehkan pengunjung mengumpul cap daripada premis makanan yang mengambil bahagian sambil meneroka kepelbagaian cita rasa Teluk Intan, daripada sajian tradisional hingga kafe kontemporari dan hidangan tempatan.

Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pengunjung yang melengkapkan kesemua 20 halaman dengan mengumpul cap diperlukan layak menebus barangan eksklusif di Teck Kee Foodstuff Enterprise sebagai ganjaran selepas menjelajah lokasi makanan terlibat.

“Setakat ini, inisiatif berkenaan menerima sambutan menggalakkan daripada perniagaan tempatan dengan lebih 18 premis menyertainya dalam usaha mengetengahkan kepelbagaian makanan Teluk Intan serta menarik lebih ramai pengunjung ke bandar ini,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Nga merasmikan pelancaran Pasport Makanan Teluk Intan di Teluk Intan semalam, bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar Woo Kah Leong pada Sabtu.

Antara premis dan tarikan yang mengambil bahagian ialah Kopi Cap Arnab, BSH Enak, Seng Hoe Biscuit, Kafe Xin Asia, Teck Kee Foodstuff Enterprise, Teluk Intan Firefly Marvels River Cruise Park, AHMA Kopi, Hokkaido Puff, Super Gadget Teluk dan Anson Hainan Kopitiam.

Turut menyertai inisiatif itu ialah Poh Loong Seafood Restaurant, Zero Bistro, Wang Kee Bah Kut Teh, Uncle Don’s, December Bake & Coffee, Anson Sport Centre, Tech Lab Studio dan Kedai Biskut GL.

Nga berkata selain memperkenalkan kepelbagaian makanan di bandar itu, Pasport Makanan Teluk Intan bertujuan menggalakkan pengunjung meneroka lokasi di luar kawasan tumpuan pelancong, mengenali perniagaan tempatan serta meluangkan lebih banyak masa menikmati tarikan yang ditawarkan.

“Dengan menghimpunkan pengusaha makanan, kafe, restoran dan tarikan tempatan menerusi satu inisiatif, Teluk Intan menjadikan budaya makanannya sebagai aset pelancongan bernilai, di samping membuka peluang kepada perniagaan kecil untuk mendapat pendedahan lebih luas dan menarik pelanggan baharu.

“Pasport Makanan Teluk Intan menunjukkan bagaimana inisiatif kreatif berteraskan komuniti mampu menjadikan pengalaman harian seperti menikmati secawan kopi atau mencuba makanan tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang memberi manfaat kepada pengunjung dan ekonomi setempat,” katanya.