Permohonan Dana Kandungan Kreatif Dibuka 16 Nov Ini Secara Dalam Talian – FINAS

KUALA LUMPUR, 25 Okt — Permohonan bagi Dana Kandungan Kreatif (Sektor Filem) yang dibuka pada 16 Nov ini adalah secara dalam talian menerusi portal Sistem Pengurusan Dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di pautan https://sppik.finas.my.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan adalah tertakluk kepada Garis Panduan dan Peraturan Dana Kandungan Kreatif yang berkuat kuasa. 

“Permohonan dana bagi kesemua kategori ini adalah secara dalam talian menerusi portal Sistem Pengurusan Dan Pemantauan Industri Kreatif (SPPIK) di pautan https://sppik.finas.my sahaja.  

“Infografik terperinci, pautan permohonan dana serta video tutorial tatacara permohonan akan dikongsikan pada tarikh permohonan dibuka melalui platform laman sesawang dan media sosial rasmi FINAS,” menurut kenyataan itu.

 Permohonan bagi enam kategori berkenaan merangkumi Dana Co-Pro Antarabangsa Filem Cereka/Cereka Animasi, Dana First Time Amateur Film Maker (FAME) dan Dana Co-Pro Program TV (Supertelefilem).

Kategori lain ialah Dana Co-Pro Mikro Drama (Stesen Penyiar/Platform OTT), Dana Supertelefilem Artis Veteran (STAR) dan Dana Penerbitan Pesanan Khidmat Awam (PSA) Kenegaraan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh dikemukakan terus kepada Bahagian Pengurusan Produksi FINAS melalui e-mel infodkd@finas.my.

Semalam, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata permohonan Dana Kandungan Kreatif berjumlah RM15 juta bagi enam kategori di bawah FINAS itu bertujuan membuka peluang kepada bakat baharu dan memperluas kerjasama antarabangsa.

Ia juga bagi memberi ruang kepada artis veteran untuk terus berkarya dan menggalakkan penghasilan kandungan baharu seperti mikro drama bagi memenuhi keperluan pasaran digital.