KKDW Gariskan Tiga Inisiatif Strategik TVET, Perkukuh Kerjaya Anak Desa

SUNGAI BESAR, 25 Okt — Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menggariskan tiga inisiatif strategik Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkukuh kebolehpasaran graduan serta membuka peluang penguasaan teknologi  kecerdasan buatan (AI) kepada anak muda desa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata inisiatif yang akan dilaksanakan secara berfasa itu merangkumi Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW, TVET Jana Desa serta Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW.

Beliau berkata Perjanjian Kerjaya Premium TVET KKDW memerlukan kompetensi, syarat penempatan dan pakej gaji bagi program terpilih dipersetujui bersama majikan sebelum pengambilan pelatih.

“Saya mahu kerjasama ini menghasilkan padanan pekerjaan yang baik, gaji permulaan yang setimpal,” katanya ketika berucap merasmikan Expo TVET@KKDW 2026 di Stadium Sungai Besar di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menterinya Datuk Rubiah Wang.

Bagi inisiatif kedua, Ahmad Zahid berkata TVET Jana Desa bertujuan membolehkan graduan membina perusahaan teknikal dan mewujudkan peluang pekerjaan di daerah masing-masing.

Inisiatif ketiga, Bengkel Pintar dan Hijau TVET@KKDW pula akan menggalakkan kerjasama pelatih, pengajar dan industri dalam membangunkan penyelesaian teknologi bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi usahawan desa.

Beliau berkata usaha itu melengkapi sasaran Belanjawan 2027 untuk menempatkan 1,000 belia desa bumiputera melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam sektor pertumbuhan tinggi, selain memanfaatkan kemahiran pendawaian dari GiatMARA untuk membaik pulih pendawaian di 20,000 rumah keluarga yang memerlukan.

“Saya mahu KKDW bersama-sama agensi pelaksana dan rakan industri memperincikan industri terlibat, pembiayaan serta sasaran keberhasilan. Pelaksanaannya mesti dapat dipantau dan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata institusi TVET perlu bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa depan, termasuk teknologi kuantum, selain memperkukuh penguasaan teknologi AI.

Beliau berkata perkara itu turut mendorongnya mencadangkan penubuhan Jabatan Teknologi Kuantum di Universiti Teknologi MARA (UiTM), yang berpotensi dikembangkan menjadi sebuah fakulti.

Ahmad Zahid berkata bilangan institusi TVET di seluruh negara meningkat daripada 1,398 kepada 1,996, terutamanya hasil perkembangan institusi swasta, berdasarkan laporan yang dikemukakannya kepada Jemaah Menteri minggu lepas.